EKONOMI

HDC Kaji Insentif Baharu, Galak Pelaburan Asing Sektor Industri Halal

18/09/2024 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Halal Development Corporation (HDC), bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sedang merangka dan mengkaji untuk memperkenalkan insentif baharu bagi menggalakkan pelaburan asing dalam sektor industri halal.

Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun berkata, insentif yang akan dimuktamadkan melalui Majlis Pembangunan Industri Halal pada tahun ini bukan sahaja untuk menggalakkan pelaburan asing tetapi juga pelaburan domestik ke dalam taman industri halal sedia ada termasuk yang bakal dibuka.

“Kita ingin menyediakan tapak bagi taman-taman industri halal baharu dengan sistem infrastruktur yang kondusif untuk pelabur asing dan tempatan, antaranya melalui penggunaan tenaga boleh baharu (renewable energy).

“Banyak syarikat terutamanya syarikat multinasional, ingin memenuhi keperluan dan tuntutan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), oleh itu, mereka perlu menggerakkan operasi kilang dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam taklimat kepada media di sini hari ini.

Menyentuh tentang cabaran dalam kerangka baharu yang sedang dikaji bersama MITI dan MIDA, beliau berkata antara perkara utama yang sedang dianalisis dan diatasi adalah tahap kesediaan infrastruktur taman-taman industri baharu ini mampu menawarkan nilai tambah kepada pelabur.

Selain itu, Khairul Azwan menekankan bahawa pelabur asing dan syarikat multinasional yang ingin masuk ke Malaysia bukan hanya melihat kepada infrastruktur taman industri, tetapi juga rantaian bekalan bahan mentah, iaitu sejauh mana bahan tersebut tersedia di Malaysia.

“Jika mereka ingin menghasilkan produk tertentu tetapi terpaksa mengimport bahan mentah dari negara asal mereka, seperti China, kosnya akan meningkat kerana (syarikat) perlu mengimport bahan itu ke Malaysia.

“Oleh itu, usaha terbaik ialah menarik pelabur asing, terutamanya dari China untuk membuka kilang bahan mentah di sini,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menekankan kepentingan mencari pengeluar bahan mentah untuk membuka kilang di Malaysia.

Dengan ketersediaan bahan di Malaysia, syarikat multinasional dan pelabur domestik tidak lagi perlu mengimport bahan tersebut dari luar negara.

Katanya, insentif yang bakal dimuktamadkan ini juga akan membantu pengendali taman industri halal yang perlu meningkatkan infrastruktur, termasuk penggunaan tenaga boleh baharu bagi memastikan daya saing terpelihara.

Ia juga akan menawarkan infrastruktur baharu mesra teknologi hijau yang mampan, sokongan kewangan, pelepasan cukai dan pembangunan infrastruktur bagi menarik perniagaan tempatan dan antarabangsa.

Dalam aspek bahan mentah, Khairul Azwan memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memberi fokus kepada penghasilan lebih banyak ramuan berasaskan sawit dan derivatif sawit yang boleh digunakan dalam sektor makanan dan minuman, farmaseutikal dan kosmeseutikal.

-- BERNAMA

 

(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.)


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan