DUNIA

Hampir 6 Juta Kanak-kanak Terjejas Akibat Taufan Yagi Di Asia Tenggara -- UNICEF

19/09/2024 09:11 AM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Taufan Yagi telah mengakibatkan banjir besar dan tanah runtuh di seluruh Asia Tenggara, menjejaskan hampir enam juta kanak-kanak dan memutuskan akses kepada sumber penting seperti air bersih, pendidikan, penjagaan kesihatan, makanan, dan tempat perlindungan, kata UNICEF pada Rabu.

Taufan paling kuat yang melanda Asia tahun ini, Taufan Yagi telah menjerumuskan komuniti yang sudah terpinggir ke dalam krisis yang lebih mendalam.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh Taufan Yagi telah memusnahkan Vietnam, Myanmar, Laos, dan Thailand.

Pengarah Serantau UNICEF bagi Asia Timur dan Pasifik, June Kunugi berkata kanak-kanak dan keluarga yang dalam keadaan paling rentan sedang menghadapi kesan yang paling dahsyat akibat kemusnahan yang ditinggalkan Taufan Yagi.

“Keutamaan segera adalah untuk memulihkan perkhidmatan penting yang sangat diperlukan oleh kanak-kanak dan keluarga, termasuk air bersih, pendidikan, dan penjagaan kesihatan.

Peningkatan kejadian cuaca ekstrem di Asia Tenggara, yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim, adalah peringatan menyedihkan bahawa apabila bencana melanda, kanak-kanak yang rentan sering menanggung akibat yang paling besar,” katanya dalam kenyataan itu.

Taufan Yagi membawa hujan lebat yang menambah curahan hujan bermusim sedia ada, menyebabkan sungai melimpah dan mencetuskan tanah runtuh yang membawa maut.

Sementara itu, UNICEF berkata agensi itu bersama rakan kemanusiaan sedang menyalurkan bantuan kecemasan kepada kanak-kanak dan keluarga di kawasan yang terjejas banjir di seluruh Asia Tenggara.

Ini termasuk mengagihkan air yang selamat diminum, bahan kebersihan, tambahan pemakanan, dan kit perubatan, sambil menyediakan sokongan kesihatan mental serta bahan pembelajaran dan rekreasi bagi membantu kanak-kanak kembali kepada keadaan normal dan meneruskan pembelajaran serta bermain dalam persekitaran yang selamat.

“UNICEF juga komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi bagi memastikan usaha pemulihan bertumpu kepada kanak-kanak apabila banjir surut,” menurut kenyataan itu.

UNICEF berkata lebih 850 sekolah dan lebih 550 pusat kesihatan telah rosak, kebanyakannya di Vietnam, dengan penilaian masih dijalankan di wilayah itu.

Di Vietnam, negara yang paling teruk terjejas oleh Taufan Yagi, kira-kira tiga juta penduduk termasuk ramai kanak-kanak tidak mempunyai akses kepada air minuman yang selamat dan sanitasi, meningkatkan risiko penyakit.

Kira-kira dua juta kanak-kanak juga tidak mempunyai akses kepada pendidikan, sokongan psikososial, dan program pemberian makanan di sekolah.

Di Myanmar, beban berganda konflik yang berterusan dan kesan dahsyat Taufan Yagi telah memburukkan lagi krisis bagi komuniti yang sudah dipindahkan akibat konflik, sekali gus memburukkan lagi suasana yang sudah genting.

Lebih 170 kematian dan lebih 320,000 pemindahan telah dilaporkan, manakala rangkaian jalan raya, telekomunikasi, dan infrastruktur elektrik mengalami kerosakan teruk di seluruh tengah Myanmar.

Di utara Thailand, hujan lebat dan banjir telah menjejaskan hampir 64,000 kanak-kanak dengan beberapa sekolah dilaporkan musnah, dan guru terpaksa menjalankan pembelajaran dalam talian dan menghantar bahan pembelajaran ke rumah pelajar.

Di Laos, banjir telah menjejaskan lapan wilayah melibatkan kira-kira 60,000 kanak-kanak, merosakkan infrastruktur penting, dan mengancam mata pencarian komuniti yang sudah bergelut dengan kesan negatif perubahan iklim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan