JENAYAH & MAHKAMAH

2,390 Prospek Berjaya Keluar Dari Status 'Buta Huruf'

19/09/2024 04:22 PM

SUNGAI PETANI, 19 Sept (Bernama) -- Seramai 2,390 daripada 2,656 prospek (penghuni penjara) berjaya dikeluarkan daripada status 'buta huruf' menerusi Program Literasi dan Numerasi (LINUS) yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia di seluruh negara.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia (Keselamatan dan Koreksional) Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata program berkenaan yang dilaksanakan di bawah Sektor Pendidikan Penjara pada awalnya membabitkan prospek muda berada di lapan Sekolah Integriti dan tiga Sekolah Henry Gurney seliaan Jabatan Penjara Malaysia.

"Kini program berkenaan diperluaskan kepada prospek dewasa di institusi-institusi penjara seluruh negara. Bagi Zon Utara, seramai 197 prospek dilatih di Institusi Penjara Sungai Petani semasa peringkat awal pelaksanaan program ini pada Mac 2023 dan daripada jumlah itu, seramai 139 prospek berjaya menguasai kemahiran 3M (membaca, mengira dan menulis).

"Program LINUS diperluaskan ke Zon Selatan pada Mac tahun lepas di Penjara Simpang Renggam, Johor. Seramai 40 daripada 45 propek yang menyertai program berkenaan berjaya menguasa kemahiran 3M. Kini keseluruhannya, 2,390 daripada 2,656 prospek berjaya keluar dari status 'buta huruf'," katanya pada sidang media di Penjara Sungai Petani dekat sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Apresiasi LINUS dan menyampaikan Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda kepada 27 prospek yang berjaya ditauliahkan pingat perak dan gangsa.

Abdul Aziz berkata modul khas LINUS berteraskan pemulihan khusus dalam penguasaan 3M bagi prospek yang lemah, tercicir serta tidak mendapat pendidikan formal lengkap.

"Bagi melaksanakan program ini, Pegawai Pemulihan Institusi (PPI) diberi pendedahan dalam teknik dan kaedah pengajaran dan pembelajaran, malah pegawai penjara turut mengikuti program kerjasama dalam kursus-kursus pengukuhan pendidikan seperti Kursus Trainee Of Trainer (TOT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri.

"Antara objektif TOT adalah memberi pendedahan kepada pegawai penjara berkaitan keperluan mendidik prospek sebagai sebahagian proses pemulihan bagi memudahkan mereka ditempatkan dalam industri apabila memasuki fasa pemulihan luar tembok," katanya.

Beliau berkata Jabatan Penjara komited memastikan prospek ditempatkan dalam proses pemulihan mendapat keperluan sewajarnya.

"Bahagian Korektif telah menjadikan Indeks Petunjuk Pretasi (KPI) dengan memastikan 90 peratus prospek yang mengikuti kelas LINUS dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan