EKONOMI

OPR Dijangka Kekal Pada 3.00 Peratus Meskipun Fed Mungkin Turunkan Lagi Kadar - Rakuten

19/09/2024 05:36 PM

Oleh NurulJannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus walaupun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) mungkin menurunkan kadar faedahnya sebanyak 50 mata asas lagi tahun ini.

Ketua penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata sekiranya Fed mengumumkan lebih banyak lagi penurunan kadar, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 100 mata asas dalam dua mesyuaratnya yang akan datang, hasil perbendaharaan AS 10 tahun dijangka berada sekitar 3.2-3.3 peratus.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), yang pada masa ini sekitar 3.7 - 3.8 peratus, sebaran (spread) akan menjadi kira-kira 56 - 60 mata asas.

“Jika spread melebar kepada sekitar 80 - 100 bps, ia boleh menyediakan penampan kepada BNM untuk membuat penilaian semula,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai prospek suku keempat (S4) hari ini.

Yee berkata jika Fed mengurangkan kadar faedah dengan ketara, ia akan memberi ruang kepada BNM untuk menurunkan kadar sekurang-kurangnya 25 mata asas pada 2025 sekiranya perlu.

“Fed dikatakan semakin bimbang terhadap pertumbuhan ekonominya dan proses pengambilan pekerja yang rendah. Itulah sebabnya mengapa mereka lebih agresif dalam pusingan ini,” katanya sambil menambah hutang negara AS juga semakin mencecah US$35 trilion sekarang.

Menurutnya, berdasarkan kadar faedah semasa AS, negara itu dilihat menyasar pembayaran faedah melebihi US$1 trilion.

“Bagaimana mereka akan membiayai ini?. Sebelum ini, mereka ada Jepun, China dan lain-lain untuk membeli bon AS bagi membiayai hutang negara.

“Tetapi sejak akhir-akhir ini, China telah menjual pegangan mereka kepada US$770 bilion daripada paras puncak sebanyak US$1.4 trilion pada November 2013,” katanya.

Di sebalik kebimbangan ini, Yee berkata, pasaran bon, ekuiti dan mata wang seperti Bursa Malaysia dan ringgit dijangka mendapat daya tarikan.

Beliau berkata ringgit semakin pulih dan berkemungkinan mengukuh kepada RM4.10 - RM4.20 berbanding dolar AS menjelang akhir 2024 berikutan penurunan kadar faedah AS.

“Dengan persekitaran faedah rendah di seluruh dunia, ringgit pasti akan kembali ke paras yang sepatutnya. Jadi, jika pengerusi Fed Jerome Powell memutuskan untuk membuat sekali lagi penurunan (dua penurunan 25 mata asas pada November dan Disember 2024), ringgit mungkin mengukuh di bawah paras RM4,” katanya.

Semalam Fed AS mengumumkan penurunan kadar sebanyak 50 mata asas, menunjukkan  komitmen penggubal dasar itu untuk mengekalkan kadar pengangguran yang rendah sekarang memandangkan inflasi mula mereda.

Langkah itu menjadikan Kadar Dana Fed (FFR) berada pada 4.75 peratus - 5.00 peratus daripada 5.25 peratus - 5.50 peratus sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan