AM

Terima Pelajar Layak Kurang Mampu, Tangguh Yuran - Zambry 

19/09/2024 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Semua pentadbir universiti awam perlu menerima masuk pelajar kurang berkemampuan yang mendapat tawaran termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Zambry berkata pihak universiti juga perlu menguruskan bantuan awal pengajian melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mahasiswa yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata ia penting bagi mengelakkan berlakunya keadaan mahasiswa yang berpotensi untuk berjaya tidak dapat meneruskan pengajian di universiti.

"Saya tidak mahu mendengar kisah mereka yang berjaya (tetapi) tidak dapat masuk universiti. Saya masih ingat saya juga daripada latar belakang itu. Saya tahu tentang kesusahan itu jadi saya tak mahu itu dijadikan alasan untuk adik-adik semua tidak mahu masuk ke universiti.

"Saya telah mengarahkan pihak universiti supaya ambil (mahasiswa), pihak universiti akan menerima saudara-saudari terlebih dahulu dan selepas itu kita akan susun melalui PTPTN dan sebagainya,” katanya dalam satu video bersama Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dimuat naik di Facebook. 

Selain itu, Zambry berkata satu daripada inisiatif yang dilaksanakan PTPTN ketika ini memberikan wang pendahuluan bagi membolehkan pelajar mendaftarkan diri di universiti-universiti yang berkenaan.

Dalam klip video berdurasi satu minit 59 saat itu, Asyraf Wajdi turut menjadikan Zambry sebagai contoh bagaimana menerusi ilmu sahaja seseorang itu boleh mengubah kehidupannya.

"Contoh paling jelas di depan mata, (Zambry) anak seorang nelayan di Pulau Pangkor hari ini berjaya dengan cemerlang … belajar di universiti di Amerika Syarikat, kumpulan pertama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), akhirnya menjadi menteri.

“Jadi yang paling penting, teruskan perjuangan untuk menimba ilmu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan