EKONOMI

MIDA Bekerjasama Dengan MIER Kukuhkan Iklim Pelaburan Malaysia

19/09/2024 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mewujudkan kerjasama strategik bagi meningkatkan iklim ekonomi dan pelaburan Malaysia melalui penyelidikan, analisis dan kerjasama yang dipacu oleh data.

Kerjasama itu dimeterai menerusi pertukaran memorandum perjanjian (MOA) antara kedua-dua pihak, dengan MIDA diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid manakala MIER oleh Pengarah Eksekutifnya Dr Anthony Dass.

Ahli lembaga MIDA Tan Sri Soh Thian Lai dan ahli lembaga MIER Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob turut hadir menyaksikan pertukaran MOA itu.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata dengan menyepadukan pengalaman luas MIDA dalam memudahkan urusan pelaburan serta penyelidikan ekonomi komprehensif MIER, kedua-dua pihak akan dapat memupuk persekitaran pelaburan yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan.

“Kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya antara MIDA dan MIER, dan saya yakin ia akan membuka peluang baharu untuk kedua-dua organisasi dan negara ini secara amnya.

“Usaha kami ini akan dipandu oleh nilai bersama iaitu ketelusan, berpandangan jauh, dan inovasi, untuk memastikan Malaysia terus berada pada kedudukan yang baik dalam menangani cabaran ekonomi dan memanfaatkan peluang yang pesat membangun,” katanya ketika berucap pada majlis pertukaran MOA itu di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama itu sejajar dengan objektif strategik di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan mencerminkan komitmen untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di peringkat global.

Dalam pada itu, Dass berkata Malaysia menunjukkan daya tahan meskipun  ekonomi global terus berdepan ketidaktentuan geopolitik dan pergolakan pasaran kewangan.

“Dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang melepasi jangkaan, berkembang daripada 4.2 peratus pada suku pertama 2024 kepada 5.9 peratus pada suku kedua 2024 dan penggunaan swasta diramalkan meningkat sebanyak 5.6 peratus pada 2024, prospek dilihat kekal positif.

“Permintaan domestik yang kukuh dan pelaburan swasta yang teguh, dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM160 bilion pada separuh pertama tahun ini, telah menunjukkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,” katanya.

Pada majlis itu, MIDA dan MIER turut melancarkan Laporan Tinjauan Keadaan Perniagaan Bulanan MIDA-MIER, yang akan diterbitkan setiap bulan untuk memberikan pandangan penting tentang sektor pembuatan Malaysia.

Tinjauan yang dijalankan pada Julai 2024 mendapati sektor itu dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, dengan lebih 70 peratus syarikat menyatakan keyakinan tentang prospek jualan dan pengeluaran semasa dan masa depan.

Turut disertai bersamanya ialah Tinjauan Ekonomi Bulanan MIER, yang menawarkan analisis meluas berkaitan arah aliran ekonomi global dan domestik, meliputi pasaran utama seperti Amerika Syarikat, China, dan Eropah, bersama-sama dengan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia dan prestasi ringgit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan