JENAYAH & MAHKAMAH

Counter Setting: Dua Pegawai Imigresen Ditahan Termasuk Dalang Utama

19/09/2024 07:36 PM

SEREMBAN, 19 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan dua pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) termasuk seorang suspek utama dipercayai terlibat dalam membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi 'counter setting'.

Menurut sumber, dua lelaki berusia lingkungan 30 dan 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada 3 pagi dan 5.40 petang semalam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan.

"Dua individu terbabit dipercayai bersekongkol dengan ejen-ejen sindiket membawa masuk warga asing yang tiba menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan KLIA2.

"Mereka dipercayai menerima wang rasuah daripada ejen-ejen sindiket selain bertindak mengatur urusan laluan kaunter khas bagi melepaskan warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya di pintu masuk udara negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-duanya suspek dibawa ke Mahkamah Seremban pagi tadi dan Majistret Fairuz Syuhada Amran membenarkan suspek utama direman selama lima hari sehingga 23 Sept ini manakala seorang lagi direman tujuh hari hingga 25 Sept.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua pegawai berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata seorang pegawai kanan imigresen, dipercayai merupakan dalang di sebalik sindiket 'counter setting', antara 60 individu ditahan kerana dipercayai membenarkan kemasukan warga asing ke negara ini tanpa pemeriksaan dokumen lengkap dan prosedur yang ditetapkan.

Suspek yang telah berkhidmat 20 tahun dengan jabatan itu ditahan 5 Sept lepas dan disyaki mempengaruhi lebih 50 pegawai untuk terlibat dalam kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan