AM

Polis Kenal Pasti Identiti Dua Beranak Pelancong China Maut

19/09/2024 07:50 PM

GEORGE TOWN, 19 Sept (Bernama) -- Identiti dua pelancong warga China yang menjadi mangsa pokok tumbang di pekarangan Penang Peranakan Mansion, Lebuh Gereja di sini semalam telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata lelaki dan anak perempuannya itu dikenali sebagai Liu Zhu, 69, dan Liu Xinxin, 36, yang sepatutnya mendaftar keluar dari hotel di Tanjung Bunga di sini.

"Mereka tiba di Pulau Pinang dengan penerbangan terus dari China pada 14 Sept lepas untuk melancong di negara ini dan difahamkan mereka akan mendaftar keluar dari hotel hari ini bagi meneruskan percutian di Malaysia.

"Bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) mendapati kedua-dua mangsa maut kerana sesak nafas traumatik pada seseorang yang terperangkap dalam kenderaan akibat pokok tumbang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga telah memaklumkan kejadian itu kepada kedutaan China dan keluarga mangsa.

Razlam berkata keluarga mangsa memaklumkan akan datang untuk menuntut mayat dua beranak itu secepat mungkin dan dibawa balik ke China.

"Sekarang ini mayat kedua-dua mangsa ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik HPP sehingga keluarga mereka datang tuntut," katanya.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki dan anak perempuannya maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang bersama bongkah konkrit runtuhan bangunan.

Pegawai Zon Daerah Timur Laut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Syafiq Nor Azman dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.19 petang dan difahamkan ketika kejadian, mangsa baru sahaja masuk ke dalam kereta yang diletakkan di pekarangan Penang Peranakan Mansion.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan