AM

Vale, MPM Anjur Larian Manjung 2024

19/09/2024 10:10 PM

IPOH, 19 Sept (Bernama)  -- Vale, syarikat perlombongan terkemuka dunia dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menganjurkan Larian Manjung 2024, yang menawarkan pengalaman menarik buat penggemar larian dan pencinta alam melalui gabungan sukan dengan pelancongan. 

Vale Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan larian tersebut akan berlangsung di Padang Bandaran Beruas, dekat sini pada 19 Okt ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Vale di Malaysia Leonardo Paiva berkata Larian Manjung 2024 bertujuan menggalakkan gaya hidup lebih sihat dan aktif selain pada masa sama menjadikan Beruas sebagai destinasi pelancongan utama di Perak yang kaya dengan sejarah dan tarikan unik. 

“Bersama-sama Majlis Perbandaran Manjung kami memperkenalkan acara pelancongan sukan untuk penduduk tempatan dan pengunjung luar. 

“Larian Manjung 2024 mencerminkan komitmen bersama kami ke arah pembangunan inklusif dan mampan bagi daerah ini dengan tumpuan kepada kesejahteraan masyarakat serta kemakmuran ekonomi,” katanya. 

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung Muhammad Faizal Shah Safian Suri berkata lokasi bagi larian tahun ini memberi makna besar kerana Beruas mempunyai banyak tarikan yang boleh ditawarkan.

“Ia adalah tapak Gangga Negara, antara tamadun tertua di Asia Tenggara yang kisahnya melangkaui zaman, membentuk kepelbagaian seni bina dan budaya yang sinonim dengan bandar ini.

“Ini menjadikan Beruas sebagai destinasi yang benar-benar unik dan sesuai untuk Larian Manjung 2024, serta menonjolkan pelbagai tawaran pelancongan di daerah Manjung,” katanya.  

Dalam pada itu, acara larian itu menawarkan empat kategori utama iaitu 3 kilometer (km), 5km, 12km, dan terbaharu separuh maraton 21km.

Bagi kategori 21km menawarkan hadiah wang tunai RM800 bagi tempat pertama, kedua (RM600) dan ketiga (RM400) untuk kategori terbuka dan veteran. 

Kategori 12km pula menawarkan hadiah tempat pertama RM500, kedua (RM400) dan ketiga  (RM300) bagi terbuka lelaki dan wanita serta veteran manakala RM400, RM300 dan RM200 masing-masing untuk tempat pertama, kedua dan ketiga bagi remaja lelaki dan perempuan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan