AM

Air Selangor Terokai Teknologi AI Pantau Kualiti Sumber Air Mentah  

19/09/2024 11:21 PM

KUALA LUMPUR, Sept 19 (Bernama) -- Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sedang meneroka penggunaan teknologi rawatan air terkini menerusi kecerdasan buatan (AI) bagi memantau, meramal dan mengesan kualiti sumber air mentah dari sungai di negeri ini sebelum ia dirawat di 34 loji rawatan air. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Adam Saffian Ghazali berkata dengan penggunaan teknologi AI, sumber air mentah yang berisiko dapat dikesan dan dikenal pasti seawal 24 jam atau 48 jam sekali gus mampu menangani pencemaran air dengan lebih proaktif. 

“Kami sedang berusaha mencipta dan mendapatkan sesuatu menggunakan AI bagi memantau kualiti sungai, maksudnya bukan hanya mengambil sampel air sungai setelah ia berlaku tetapi mungkin 24 jam atau 48 jam sebelum itu. Berasaskan AI, kami dapat meramalkan kualiti air mentah,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Justeru, beliau berkata Air Selangor komited dalam mempertimbangkan teknologi rawatan tersebut termasuk ultrafiltrasi yang berfungsi dalam memastikan air lebih berkualiti dan selamat digunakan masyarakat. 

Adam Saffian berkata Air Selangor menyedari hakikat bahawa kualiti air kini telah berubah dan kaedah rawatan semasa seperti penjernihan serta penapisan tidak lagi mencukupi untuk keperluan semasa.

“Seperti yang kita tahu kualiti air telah berubah, kalau dulu kita boleh rawat air mungkin menggunakan penjernihan atau menggunakan penapis biasa tetapi seiring peredaran masa kita perlu melihat dengan lebih serius ada ada terdapat teknologi baharu yang boleh kita gunakan untuk merawat air. Jelas sekali, kini kita boleh guna ultrafiltrasi,” katanya. 

Adam Saffian berkata Air Selangor turut berhasrat mempertimbangkan pilihan loji rawatan air desentralisasi kerana terdapat kawasan tertentu yang pemasangan paip kini tidak lagi berkesan malah penghubungan kepada takungan air sedia ada memerlukan pemasangan paip sepanjang 30 kilometer (km). 

Beliau berkata dengan adanya sumber air seperti sungai di kawasan tersebut, Air Selangor bercadang untuk menggunakan teknologi yang berbeza daripada loji rawatan sedia ada termasuk penggunaan sistem membran bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber air.

Bagi menangani isu pencemaran air sungai, Adam Saffian berkata kerajaan negeri telah melaksanakan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi menyelaraskan pengurusan air secara holistik dan dijangka siap Disember ini. 

"Kerajaan Negeri Selangor sedang buat (SJAM) untuk Sungai Selangor yang membekalkan air kepada Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, dan 3, program SJAM ini akan siap pada Disember," katanya.

Dalam pada itu, menerusi Program Penggantian Paip, Air Selangor menyasarkan penggantian paip ditingkatkan kepada 300 km setahun dalam usaha menyelesaikan isu gangguan air dan mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) sekali gus meningkatkan mutu bekalan air kepada 9.3 juta pengguna negeri itu serta Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berkata setakat ini terdapat baki 5,000 km paip usang yang masih dalam proses penggantian.

“Kita memang nak tukar secepat mungkin kerana paip usang inilah antara punca adanya isu Air Tidak Terhasil," katanya dan menambah lebih 1,000 km paip usang telah digantikan sejak 2016 hingga 2023.

Panjang keseluruhan paip di Selangor sekitar 30,000 km.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan