AM

JKNT Tubuh Jawatankuasa Siasatan Bebas Berhubung Kes Kematian Bayi

20/09/2024 11:29 AM

KUALA TERENGGANU, 20 Sept (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menubuhkan satu jawatankuasa siasatan bebas bagi menyiasat dakwaan berlaku kematian bayi akibat kecuaian petugas wad bersalin di Hospital Dungun.

Pengarah JKNT Datuk Dr Kasemani Embong berkata siasatan itu dibuat susulan satu hantaran di media sosial X oleh pemilik akaun 'Matdan The Great (@rushashraf)' yang tular sejak 17 Sept lepas. 

Beliau berkata dalam hantaran itu, pemilik akaun meluahkan ketidakpuasan hati terhadap mutu perkhidmatan petugas wad bersalin yang diberikan kepada adik dan anak saudaranya yang baru lahir.

"Siasatan awal mendapati adik pengadu telah dimasukkan ke wad bersalin Hospital Dungun pada 16 Sept 2024 dan selamat melahirkan bayi secara normal pada 5.08 pagi.

"Bagaimanapun, bayi itu didapati mengalami masalah pernafasan dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kemaman pada 7.45 pagi untuk rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Kasemani berkata malangnya bayi itu tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia selepas 40 jam menjalani rawatan di unit berkenaan.

Punca kematian masih dalam siasatan dan JKNT memandang serius perkara-perkara yang diutarakan oleh pengadu serta telah menubuhkan jawatankuasa siasatan bebas bagi menyiasat isu itu dengan terperinci dan seterusnya mengambil tindakan penambahbaikan yang bersesuaian.

JKNT juga mengalu-alukan sebarang maklum balas bagi meningkatkan mutu perkhidmatan perawatan pesakit yang terbaik dan mesra pelanggan.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan