AM

Jawatankuasa Fatwa Perlis Putuskan Kepercayaan, Ajaran Dalam GISBH Ada Unsur Ajaran Sesat

20/09/2024 03:02 PM

KANGAR, 20 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Khas Jawatankausa Fatwa Negeri Perlis yang berlangsung hari ini memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam Global Ikhwan Service and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata ia juga adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

"Setelah berbincang, Jawatankuasa memutuskan bahawa pegangan kumpulan GISBH mengkultuskan pemimpin mereka dan tokoh-tokoh agama sehingga melampaui batasan, hampir menyamakan kedudukan mereka dengan Nabi SAW.

"Atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara yang ghaib seakan Tuhan adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa itu di sini hari ini.

Mohd Asri berkata selain itu, Jawatankuasa menyimpulkan bahawa model ekonomi yang diamalkan GISBH bukanlah model ekonomi Islam yang sebenar, malah ia bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam.

"Ini kerana ia mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terlibat, serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISBH adalah dilarang. 

Sementara itu, Mohd Asri berkata Jawatankuasa mencadangkan masyarakat Islam membantu pemulihan ahli-ahli GISBH yang ingin keluar dari kesesatan itu dan peruntukan zakat juga boleh digunakan untuk membantu pemulihan mereka seperti pembiayaan pendidikan yang betul, pembinaan semula kehidupan, perlindungan keselamatan dan pembiayaan dakwah pemurnian akidah.

"Peruntukan zakat di bawah fisabilillah, al-riqab dan fakir miskin boleh digunakan untuk tujuan ini. Sekolah yang mempunyai manhaj pengajian Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar hendaklah membantu mengambil anak-anak GISBH ini untuk diberikan pendidikan yang sepatutnya," katanya.

Katanya badan-badan swasta juga boleh memberikan peluang pekerjaan agar mereka dapat menjalani kehidupan seperti masyarakat Islam yang lain. Pada masa sama, semua pihak perlu memantau bagi memastikan mereka tidak kembali kepada ajaran sesat itu.

"Masyarakat Islam secara seluruhnya perlu mengambil sikap positif dalam usaha membantu bekas-bekas ahli GISBH untuk keluar dari belenggu kesesatan tersebut," katanya.

Mesyuarat khas jawatankuas itu berlangsung secara tutup selama lebih dua jam.          
-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan