JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Tinggi Lepas Sementara Da'i Syed Sehingga Rayuan Didengar

20/09/2024 11:22 PM

SHAH ALAM, 20 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan sementara pendakwah selebriti Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful yang sedang menjalani hukuman penjara atas pertuduhan merogol seorang wanita. 

Perkara berkenaan diputuskan Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas membenarkan permohonan dikemukakan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da’i Syed selaku pemohon untuk menggantung pelaksanaan hukuman sehingga rayuannya didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi.

Peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang turut mewakili pemohon ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata sesi pendengaran permohonan penggantungan dibuat mengikut Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Sept ini bagi sebutan kes rayuan itu di Mahkamah Tinggi.

Abu Bakar berkata mahkamah turut membenarkan permohonan tersebut dengan beberapa syarat, namun butirannya tidak boleh didedahkan secara terperinci.

Dalam prosiding hari ini, selain Abu Bakar dan Mohamed Baharudeen, Syed Shah Iqmal turut diwakili Datuk Wan Azmir Wan Majid dan Muhammad Amin Othman. 

Pada 30 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Norazlin Othman menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atas Syed Shah Iqmal serta menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman selepas mendapati tiada keadaan khas bagi membolehkan permohonan tersebut.

Dia dijatuhkan hukuman berkenaan selepas didapati bersalah merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 1.35 pagi pada 11 Sept 2019.

Syed Shah Iqmal didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April tahun lepas, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan merogol selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Mac lepas mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan berkenaan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan