AM

Jawatankuasa Muzakarah MKI Bincang Isu Doktrin Fahaman GISBH Selasa Ini - Mohd Na'im

21/09/2024 09:29 PM

PUTRAJAYA, 21 Sept (Bernama) -- Isu berkaitan doktrin fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan dibincang oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang dari Selasa hingga Khamis ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan perkara itu dalam hantaran yang disiarkan di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyokong penuh tindakan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menahan dan mendakwa sebilangan pemimpin serta ahli GISBH.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memberikan kerjasama penuh bagi membantu pihak PDRM dalam proses siasatan isu GISBH.

"JAKIM telah mengadakan pertemuan bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri," katanya.

Semalam, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa fahaman yang didukung oleh GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya dari segi batiniah dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata ia juga adalah kesinambungan Al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Isu itu turut mendapat reaksi daripada Mufti Terengganu Datuk Dr Mohamad Sabri Harun dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang bersetuju ia perlu dibincangkan oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI sebelum sebarang fatwa dibuat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan