PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIBUKA RENDAH BERIKUTAN PENGAMBILAN UNTUNG SEDERHANA

20/06/2024 10:50 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis susulan aktiviti pengambilan untung sejak semalam.

Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.45 mata kepada 1,592.34 daripada 1,599.79 ketika ditutup pada Rabu, merosot di bawah paras utama 1,600.

Indeks penanda aras itu dibuka 3.52 mata lebih rendah kepada 1,596.27.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 280 berbanding 173, manakala 326 kaunter tidak berubah, 1,633 kaunter tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 422.43 juta unit bernilai RM150.26 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI meneruskan keadaan tidak banyak berubah, turun di bawah paras psikologi 1,600 ekoran pengambilan untung yang berterusan.

“Kami terkejut dengan kekurangan minat belian berlaku di bursa tempatan sejak akhir-akhir ini kerana menjangkakan beberapa pembelian semasa harga murah sekarang ini memandangkan indeks berada di bawah paras 1,600.

“Kami percaya keadaan pasaran masih positif dan menjangkakan indeks itu berada dalam aliran 1,600 hingga 1,610 hari ini, dengan minat berkemungkinan terhadap kaunter bank dan telekomunikasi,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata Wall Street ditutup untuk dagangan pada Rabu.

Bagaimanapun, niaga hadapan tiga indeks utama menunjukkan Purata Perindustrian Dow Jones ditutup rendah manakala Nasdaq dan S&P 500 mencatatkan kenaikan kecil.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng melonjak melepasi paras 18,000 disokong oleh pelancaran lebih banyak langkah rangsangan oleh China, terutama bertujuan untuk memperbaharui papan teknologi untuk meningkatkan kualiti penyenaraian dan menggalakkan inovasi teknologi.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi menunjukkan prestasi bercampur dengan AMMB (AmBank) susut 4.0 sen kepada RM4.15, YTL Corporation turun 6.0 sen kepada RM3.52, Petronas Gas (PetGas) merosot 30 sen kepada RM17.56, Tenaga Nasional berkurang 10 sen kepada RM13.76, dan Axiata Group lemah 4.0 sen kepada RM2.68.

Antara saham rugi, Nestle susut 80 sen kepada RM123.20, diikuti oleh PetGas.

Kuala Lumpur Kepong turun 16 sen kepada RM20.14, manakala Sam Engineering & Equipment menguncup 10 sen kepada RM6.40.

Kaunter paling aktif termasuk Ingenieur Gudang yang tidak berubah pada 7.0 sen, Jaks Resources naik 1.0 sen kepada 20 sen, LBS Bina Group turun 9.0 sen kepada 80 sen, Vinvest Capital susut setengah sen kepada 8.5 sen dan EP Manufacturing menokok 6.5 sen kepada 84.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 46.92 mata kepada 12,245.12, Indeks FBMT 100 turun 46.51 mata kepada 11,820.99 dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 44.74 mata kepada 12,590.13.

Indeks FBM 70 susut 35.08 mata kepada 17,896.00, dan Indeks FBM ACE turun 23.33 mata kepada 5,772.87.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 55.45 mata kepada 17,421.60, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.10 mata kepada 197.50, Indeks Tenaga kurang 1.18 mata kepada 982.20, dan Indeks Perladangan menambah 3.24 mata kepada 7,006.41.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan