PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA KEKAL RENDAH PADA TENGAH HARI

20/06/2024 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah semasa tengah hari pada Khamis berikutan pengambilan untung berterusan dalam keseluruhan pasaran.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.51 peratus atau 8.12 mata kepada 1,591.67 daripada 1,599.79 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 3.52 mata lebih rendah kepada 1,596.27 dan bergerak di antara 1,590.37 dengan 1,596.27 sepanjang sesi pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 774 berbanding 287, manakala 422 kaunter tidak berubah, 929 kaunter tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 3.10 bilion unit bernilai RM1.75 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berpandangan keadaan semasa yang suram dalam bursa tempatan menunjukkan pergerakan tidak banyak berubah di Bursa Malaysia selepas mengalami kenaikan kukuh yang berterusan dalam dua bulan lepas.

Firma pembrokeran itu menjangkakan pelabur mengalihkan tumpuan kepada syarikat yang mempunyai asas kukuh dan merekodkan pertumbuhan pendapatan selain memberi perhatian kepada saham yang bersifat defensif.

Secara teknikal, indeks penanda aras dijangka bergerak dalam julat 1,615 hingga 1,620 mata dengan paras sokongan pada 1,580 hingga 1,585, jelasnya dalam nota penyelidikan.

Antara kaunter wajaran tinggi, Tenaga susut 12 sen kepada RM13.74, AmBank turun 3.0 sen kepada RM4.16 dan Axiata menguncup 6.0 sen kepada RM2.66.

Sime Darby turun 7.0 sen kepada RM2.53 dan Maxis kurang 4.0 sen kepada RM3.57.

Antara kaunter paling aktif, Ingenieur Gudang tidak berubah pada 7.0 sen, Jaks Resources turun setengah sen kepada 18.5 sen, VS Industry naik 7.0 sen kepada RM1.22, Metronic menambah setengah sen kepada 2.5 sen, dan MYEG turun 2.0 sen kepada RM1.04.

Nestle mendahului saham rugi apabila merosot RM1.20 sen kepada RM122.80 manakala Ajinomoto susut 20 sen kepada RM15.48 dan MBM Resources turun 14.0 sen kepada RM5.20.

Sunway Construction susut 14 sen kepada RM3.81 dan KESM kurang 14 sen kepada RM7.28.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 52.24 mata kepada 12,239.80, Indeks FBMT 100 kurang 49.67 mata kepada 11,817.83 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 57.15 mata kepada 12,577.72.

Indeks FBM 70 turun 32.60 mata kepada 17,898.48 dan Indeks FBM ACE kurang 13.72 mata kepada 5,782.48.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 53.28 mata kepada 17,423.77, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.30 mata kepada 197.19 dan Indeks Tenaga susut 13.03 mata kepada 970.35.

Indeks Perladangan turun 10.14 mata kepada 6,993.03.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan