PASARAN > BERITA

RINGGIT DIBUKA MENGUKUH BERBANDING DOLAR AS

26/06/2024 10:24 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Rabu, didorong oleh jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus akibat peningkatan inflasi pada Mei 2024.

Peniaga berkata perkembangan itu berlaku ketika bank-bank pusat di serata dunia telah mula bertindak menurunkan kadar faedah masing-masing.

Pada 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.7065/7095 berbanding dolar AS daripada paras 4.7035/7070, sebelum ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 2.0 peratus pada Mei lepas yang boleh mendorong BNM mengekalkan OPR semasa dalam usaha menguruskan inflasi.

“Dalam pada itu, realiti ketidaktentuan di Amerika Syarikat (AS) pula terbukti susulan pengumuman data ekonomi seperti Indeks Keyakinan Pengguna AS yang susut kepada 100.4 mata pada Jun daripada 101.3 mata pada Mei, 2024. 

“Indeks Jangkaan juga turun kepada 73 mata pada Jun daripada 74.9 mata iaitu kekal di bawah nilai ambang 80 mata selama lima bulan berturut-turut yang lazimnya menunjukkan kemelesetan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata ketidaktentuan berterusan antara pasaran dan Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka berterusan dengan pasaran menjangkakan kadar Fed berkemungkinan turun kepada 2.25 peratus menjelang suku pertama tahun depan.

"Berdasarkan skor itu, paras ringgit berbanding dolar AS dijangka kekal sekitar RM4.71 dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama. 

Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9465/9486 daripada 2.9513/9537 pada akhir urus niaga Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 5.0411/0443 daripada 5.0440/0478, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.9697/9735 daripada 5.9687/9732.

Selain itu, ringgit turut mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara anggota ASEAN lain.

Ini termasuk meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7995/8115 daripada 12.8294/8431 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4739/4764 daripada 3.4763/4792.

Ringgit bagaimanapun turun berbanding rupiah Indonesia kepada 287.3/287.7 daripada 287.1/287.5 dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.00/8.02 daripada 8.00/8.01, sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan