PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA KEKAL MENINGKAT PADA TENGAH HARI, FBM KLCI NAIK 2.96 MATA

28/06/2024 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan peningkatannya pada tengah hari Jumaat, seiring dengan prestasi kebanyakan pasaran serantau menjelang pengumuman data inflasi Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis. 

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.19 peratus atau 2.96 mata kepada 1,587.9 daripada paras 1,584.94 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.41 mata kepada 1,583.53 dan bergerak antara 1,581.52 dan 1,588.57 sepanjang sesi dagangan pagi.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 521 berbanding 390 manakala 471 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,031 tidak didagangkan dan 45 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.43 bilion unit bernilai RM1.29 bilion.

Sementara itu, firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd berkata peniaga akan terus memantau data perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) yang akan diumumkan lewat hari ini bagi mendapatkan petunjuk mengenai pendirian Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) di masa depan.

“Di peringkat tempatan, kami percaya akan wujud peluang untuk pembelian saham bagi sektor teknologi yang dipacu oleh data, kecerdasan buatan dan perkhidmatan awan sebagai pemangkin.

“Kami juga yakin segmen pembinaan dan bahan binaan berpotensi untuk terus meningkat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam pada itu, segmen tenaga boleh baharu akan menjadi sektor jangka panjang di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut dua sen kepada RM9.94, Tenaga Nasional turun 18 sen kepada RM13.76, Sime Darby meraih satu sen kepada RM2.62 manakala YTL menokok enam sen kepada RM3.45 dan CIMB tidak berubah pada RM6.77.

Bagi saham aktif, Borneo Oil and Trive Property meningkat setengah sen masing-masing kepada satu sen dan 6.5 sen, MY E.G. naik tiga sen kepada RM1, YNH Property menambah empat sen kepada 53.5 sen dan Ingenieur Gudang turun setengah sen kepada 5.5 sen. 

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 35.68 mata kepada 12,196.52, Indeks FBMT 100 meraih 32.84 mata kepada 11,780.38, Indeks FBM Emas Syariah menambah 38.89 mata kepada 12,535.13, Indeks FBM 70 melonjak 89.79 mata kepada 17,809.94 dan Indeks FBM ACE menokok 23.26 mata kepada 5,712.24.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Tenaga naik 5.59 mata kepada 955.21, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.58 mata kepada 195.83, Indeks Perladangan menambah 30.86 mata kepada 6,981.68 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 1.52 mata kepada 17,421.84.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan