PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP RENDAH SUSULAN KEBIMBANGAN PENINGKATAN STOK

05/07/2024 09:41 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Jumaat susulan kebimbangan terhadap peningkatan stok, kata peniaga sawit David Ng.

“Permintaan rendah terutamanya dari India dan juga dari China turut mempengaruhi harga komoditi itu. Berdasarkan prestasi harga hari ini, kami melihat paras pada RM4,000 setan metrik dan paras rintangan pada RM4,100 satu tan metrik,” katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM dilihat merosot hari ini berikutan pengambilan untung selepas pemulihan kukuh baru-baru ini dan menjelang cuti hujung minggu yang panjang.

“Pasaran akan ditutup pada Isnin, 8 Julai 2024 sempena cuti umum Awal Muharram dan akan dibuka semula pada 9 Julai 2024.

"Minyak sawit cuba menyesuaikan dengan keadaan semasa sekarang kerana permintaan daripada pembeli utama iaitu India dilihat berkurangan berikutan margin import dan pemprosesan yang tidak berdaya maju serta kedudukan saham lebih baik," katanya.

Pada akhir dagangan hari ini, kontrak Julai 2024 dan Ogos 2024 susut RM29 masing-masing kepada RM4,088 dan RM4,053 satu tan metrik.

September 2024 jatuh RM25 kepada RM4,042 setan metrik, Oktober 2024 berkurangan RM22 kepada RM4,026, November 2024 menguncup RM19 kepada RM4,017 dan Disember 2024 merosot RM17 kepada RM4,019.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 51,843 lot daripada 63,312 lot manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 233,507 kontrak daripada 228,811 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan turun RM20 kepada RM4,130 setan metrik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan