POLITIK > BERITA

PRK SUNGAI BAKAP ANTARA YANG DIBINCANG PADA MESYUARAT DEWAN TERTINGGI BN - ZAMBRY

22/06/2024 11:15 AM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang berlangsung semalam, antara lain membincangkan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerusi kenyataan berkata semua parti komponen dan Friends of BN memberi komitmen dalam mempersiapkan semua jentera parti bagi membantu calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK itu.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, Zambry berkata BN memantau keputusan Bersatu melucutkan keahlian enam Ahli Parlimen  dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri mereka yang jelas dilihat sebagai muslihat politik berbanding keutamaan untuk mengekalkan kestabilan dan usaha memulihkan ekonomi negara.

“Mesyuarat juga memberi komitmen berterusan untuk BN membawa isu-isu rakyat yang memerlukan kesegeraan tindakan demi memelihara kesejahteraan hidup rakyat melalui langkah-langkah proaktif yang diambil bersama Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Zambry berkata Dewan Tertinggi BN juga bersetuju untuk mengadakan beberapa program khas bagi memperkasakan hubungan parti dengan rakyat sebelum Sambutan Jubli Emas BN ke-50 yang bakal disambut pada hujung tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan