POLITIK > BERITA

PRK SG BAKAP: FAHMI HARAP KEMPEN KEDUA-DUA CALON BERJALAN SECARA BERHEMAH

22/06/2024 07:28 PM

NIBONG TEBAL, 22 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berharap kempen kedua-dua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berjalan secara berhemah.

Beliau turut mengingatkan calon dan penyokong kedua-dua pihak agar sentiasa menjaga adab sepanjang berkempen.

“Saya ada bertemu dengan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang memaklumkan kepada saya bahawa beliau dan calon Perikatan Nasional (PN) setuju untuk tidak menyerang dari segi peribadi semasa berkempen.

“Kita mahu pertandingan yang sihat dan beradab di antara calon-calon serta yang lain (penyokong),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kepada peserta Bengkel Asas Media Sosial anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional di sini hari ini.

Ditanya pendapat beliau mengenai calon PH, Fahmi berkata Joohari adalah seorang bekas guru dan individu yang berpengalaman serta pernah berkhidmat di Kementerian Pendidikan sebagai pengarah pendidikan peringkat daerah.

“Sudah pasti beliau banyak berjasa di Sungai Bakap dan sudah pasti ramai yang mengenali beliau di sini,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan calon PN Abidin Ismail.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi bagi PRK berkenaan pada 6 Julai manakala pengundian awal pada 2 Julai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan