POLITIK > BERITA

PRK SUNGAI BAKAP: MIC AKAN TURUN BERI SOKONGAN KEPADA PH, RAIH UNDI MASYARAKAT INDIA

22/06/2024 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- MIC akan turun padang berkempen bagi calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan Dr Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran berkata jentera parti itu akan cuba sedaya upaya meraih undi masyarakat India di DUN itu yang merangkumi lebih 17 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.

"Pada PRK ini, walaupun kita tidak membuka bilik gerakan sendiri tetapi kita akan bekerja di bilik gerakan Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita semasa penamaan calon jawatan tertinggi MIC di sini hari ini.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Negeri 2023, DUN Sungai Bakap mempunyai 38,409 pemilih dengan 59.36 peratus pengundi Melayu, 22.54 peratus (Cina), 17.39 peratus (India) dan 0.71 peratus lain-lain.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH iaitu bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional iaitu bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 2 Julai ini manakala 6 Julai ialah hari mengundi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan