POLITIK > BERITA

PRK SUNGAI BAKAP: PENDUDUK TERUJA ‘RAYA DUA KALI', HARAP ADA SINAR BAHARU

23/06/2024 04:32 PM

Oleh Lucia Terey Anak John dan Nur Syuhada Yusof

NIBONG TEBAL, 23 Jun (Bernama) -- Setelah seminggu umat Islam meraikan Aidiladha pada 17 Jun lepas, Sungai Bakap sekali lagi merasai kemeriahan suasana 'raya’ menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu tidak lama lagi.

Pengundi Sungai Bakap yang terdiri daripada anak perantauan, dijangka pulang ke kampung sekali lagi bagi menunaikan tanggungjawab penting untuk menentukan masa depan kawasan itu pada hari pengundian, 6 Julai nanti.

Bagi penduduk Sungai Bakap pula, mereka menyifatkan suasana 'dua kali raya’ ini sangat istimewa kerana dapat juga membuka peluang kepada peniaga menjana pendapatan apabila kawasan itu kembali  meriah pada musim pilihan raya kecil.

Namun, lebih 39,000 pemiliih di Sungai Bakap berharap suasana 'dua kali raya’ ini bakal membawa paradigma besar ke arah kesejahteraan hidup yang lebih baik apabila gelanggang rasmi pertembungan dua calon PRK Sungai Bakap dibuka sejurus selesai proses penamaan calon semalam.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

Seorang belia di kawasan itu, Adam Haikal Muhammad Bukhari, 25, berharap PRK kali ini akan membawa sinar baharu kepada usaha penambahbaikan infrastruktur bekalan air kerana kawasan berkenaan sering berdepan masalah air yang tidak menentu.

“Setakat ini, bekalan air selalu terputus terutama pada waktu puncak sekitar 7 malam dan kadang kala, tekanan air agak rendah sehingga menyukarkan operasi perniagaan kedai makanan seperti kami.

“Harapan saya agar mana-mana calon yang menang nanti boleh membantu menangani masalah bekalan air ini yang belum diselesaikan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Bernama di Taman Puteri Gunung, Simpang Ampat baru-baru ini. 

Peniaga Krishaveny Loo Chooi, 42, pula mahukan lebih banyak rumah kos rendah dibina bagi membolehkan penduduk memiliki kediaman sendiri selain berharap agar proses permohonan rumah dipermudahkan berikutan ia mengambil tempoh yang lama untuk diluluskan sebelum ini.

“Kadar sewaan rumah flat sudah mencecah RM600 hingga RM700 dan bagi keluarga besar, unit seperti itu tidak sesuai untuk didiami. Jadi pilihan terakhir mereka adalah terpaksa menyewa rumah teres dengan kos sewaan yang jauh lebih tinggi iaitu kira-kira RM1,000 sebulan.

“Ini jelas tidak setara dengan pendapatan yang diperoleh rata-rata penduduk di sini yang majoritinya bukan pekerja mahir dan hanya bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu,” katanya yang sudah berniaga nasi lemak berlauk sejak lapan tahun lepas di taman perumahan sama.

Turut menyuarakan harapan seorang peniaga buah-buahan, Alias Abdul Razak, 58, yang mahu program pemerkasaan ekonomi untuk penduduk setempat terutama masyarakat Bumiputera diutamakan bagi membolehkan golongan itu meningkatkan taraf kehidupan.

Alias berharap satu tapak perniagaan khas tidak mengenakan caj sewaan tinggi dapat diwujudkan selain menyediakan pusat bimbingan kepada peniaga kecil yang mahu mengembangkan perniagaan masing-masing.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) sehingga 24 Mei 2024, sebanyak 39,279 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis. 

Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, Ogos tahun lepas, kerusi berkenaan dimenangi Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan