POLITIK > BERITA

PRK SG BAKAP: PH GUNA PENDEKATAN GOTV BAGI RAIH SEBANYAK MUNGKIN UNDI

04/07/2024 07:16 PM

NIBONG TEBAL, 4 Julai (Bernama) -- Jentera Pakatan Harapan (PH) menggunakan kaedah GOTV atau ‘get out the vote’ bagi meraih sebanyak mungkin undi dengan meningkatkan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Sabtu ini.

Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tumpuan jentera parti kini terarah kepada bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan itu sebelum tempoh berkempen tamat 11.59 malam esok.

“Insya-Allah dalam tempoh berbaki kurang 48 jam ini kita tidak akan berhenti kempen rumah ke rumah, ceramah kelompok dan malam esok akan diakhiri dengan Ceramah Mega Perpaduan,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Sungai Bakap di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pilihan Raya PH bagi PRK DUN Sungai Bakap Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan calon PH bagi PRK itu Dr Joohari Ariffin.

Menteri Dalam Negeri itu berkata PH optimis Joohari mampu mencapai kemenangan di kerusi DUN Sungai Bakap bersandarkan tahap kerjasama jentera gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) yang berjaya membentuk jalinan dan komitmen kerja baik di peringkat negeri dan nasional. 

Saifuddin Nasution berkata keberkesanan jentera parti menggunakan saluran media baharu untuk berkempen juga antara faktor tahap pengukuran kemenangan yang dilihat memihak kepada PH.

“Jadual kempen calon PH juga telah menjangkau kesemua daerah mengundi dan saluran-saluran mengundi yang kami pandukan secara data berdasarkan kepada keputusan pengundian yang lepas, kami tumpukan kekuatan itu dapat dipertahan dan dipertingkatkan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata keyakinan itu juga bersandarkan kepada kempen pihak lawan yang jarang menurunkan pemimpin-pemimpin tertinggi serta jenteranya tidak betul-betul ‘berkampung’ di Sungai Bakap.

PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan