POLITIK > BERITA

PERHIMPUNAN AGUNG MIC AKAN KEMUKA RESOLUSI TINDAKAN TEGAS TERHADAP PIHAK MAIN ISU AGAMA

09/09/2024 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- MIC akan mengemukakan satu resolusi meminta kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memainkan isu agama sama ada agama rasmi mahupun lain-lain agama di negara ini.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata perkara itu merupakan antara usul yang akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung MIC ke-78 pada 15 Sept ini.

“(Terdapat) dua usul, pertama ialah sokongan kepada pucuk pimpinan MIC yang telahpun dibentang di peringkat negeri sebelum ini. Usul kedua pula adalah mengenai isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R).

“MIC akan menekankan (isu ini) menerusi resolusi supaya kerajaan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak, tidak kira sama ada mereka sentuh agama rasmi ataupun agama-agama lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MIC di sini hari ini.

Selain itu, Saravanan berkata isu mengenai bantuan kerajaan serta peluang pekerjaan dan pendidikan kepada masyarakat India juga akan turut ditekankan pada ucapan dasar presiden untuk dibahaskan oleh perwakilan pada perhimpunan itu.

Perhimpunan Agung MIC ke-78 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam dan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan merasmikan perhimpunan tersebut.

Seramai 1,480 perwakilan dan 177 pemerhati dijangka akan menyertai perhimpunan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan