POLITIK > BERITA

PRK MAHKOTA: MIC YAKIN PENGUNDI INDIA BERPIHAK KEPADA BN

23/09/2024 12:33 PM

KLUANG, 23 Sept (Bernama) -- MIC yakin undi kaum India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah.

Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran berkata ini berdasarkan kepada maklum balas positif pengundi yang diterimanya semasa berkempen di pusat daerah mengundi (PDM), selain usaha berterusan yang dilakukan kerajaan Johor menjaga kebajikan kaum India.

“Penduduk di sini dapat melihat bagaimana BN memastikan permasalahan dihadapi pengundi diselesaikan, selain calon kita juga adalah calon yang baik, muda serta ada pengalaman politik dan datang dari keluarga banyak berjasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Masyarakat India sempena PRK itu di sini semalam, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon BN PRK itu Syed Hussien Syed Abdullah.

Vigneswaran berkata MIC juga akan mempergiatkan kempen bagi mengingatkan pengundi India untuk  tidak terpedaya dengan  cubaan pembangkang menarik undi daripada BN.

Sementara itu, Syed Hussien berkata akan menunaikan janji untuk berkhidmat secara ‘buta warna’ kepada semua penduduk, jika diberikan mandat rakyat menerusi PRK itu. 

PRK DUN Mahkota yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan