SUKAN > BERITA

PSM DITAWAR HAK PENGANJURAN PIALA ASIA 2025 -- ASTAF

19/06/2024 03:03 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) telah menawarkan hak penganjuran kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai tuan rumah Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 (Asia Cup 2025) yang diperkenalkan oleh ASTAF buat julung kalinya.

Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader dalam kenyataan hari ini memaklumkan tawaran berkenaan dibuat Jawatankuasa Tertinggi ASTAF dalam mesyuaratnya di Bangkok, Thailand baru-baru ini setelah mesyuarat sebulat suara membuat keputusan melantik Malaysia selaku tuan rumah.

Justeru, beliau berharap supaya badan induk sukan yang diterajui Datuk Mohd Sumali Reduan dan Majlis Tertinggi PSM itu dapat mempertimbangkan tawaran terbabit dengan sebaiknya. 

Abdul Halim berkata faktor utama Malaysia diberi kepercayaan dan ditawarkan hak penganjuran Piala Asia 2025 bersandarkan kepada 10 asas kukuh dan praktikal antaranya Malaysia berjaya menganjurkan Kejohanan Piala Dunia Sepaktakraw Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dengan cemerlang pada 16-26 Mei lepas. 

“… apa yang lebih mustahak adalah keprihatinan (Menteri Belia dan Sukan) Hannah Yeoh yang membolehkan PSM merealisasikan matlamat pelaksanaan penganjuran ISTAF World Cup Sepaktakraw melalui pemberian geran penajaan sukan berjumlah RM1 juta.

“Kejohanan yang julung kalinya diadakan ini bertujuan menjadikannya sebagai medan ujian bagi negara-negara yang akan terlibat dengan Sukan SEA Bangkok, Thailand 2025,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Abdul Halim yang juga Setiausaha Agung ISTAF berkata format bagi tiga acara akan dicadangkan kepada Federasi Sukan SEA di Bangkok melibatkan acara regu berpasukan, regu, double dan quadrant.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan