SUKAN > BERITA

PSM SEDIA PERTIMBANG TAWARAN ASTAF JADI TUAN RUMAH PIALA ASIA

20/06/2024 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sedia mempertimbangkan tawaran Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 yang diperkenalkan buat julung kalinya.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat tertinggi PSM yang dijadualkan berlangsung pada 30 Jun ini.

“Seperti kita tahu, PSM ini kalau boleh setiap tahun kami nak buat kejohanan antarabangsa. Kebetulan pula tawaran ini datang, jadi kita akan pertimbangkan dalam mesyuarat tertinggi nanti.

“Sebab kejohanan (Piala Asia) ini merupakan yang pertama kali dianjurkan dan sekiranya kita terima Malaysia akan jadi tuan rumah pertama. Jadi kena tunggu dulu keputusan mesyuarat nanti,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader menerusi kenyataan memaklumkan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi ASTAF dalam mesyuaratnya di Bangkok, Thailand baru-baru ini sebulat suara bersetuju untuk melantik Malaysia selaku tuan rumah kejohanan itu.

Menurut Abdul Halim, faktor utama Malaysia diberi kepercayaan dan ditawarkan hak penganjuran Piala Asia 2025 bersandarkan kepada 10 asas kukuh dan praktikal, antaranya kejayaan menganjurkan Kejohanan Piala Dunia dengan cemerlang pada 16-26 Mei lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan