SUKAN > BERITA

SABAH HANTAR KONTINJEN TERKUAT KE SUKMA SARAWAK - HAJIJI

20/06/2024 09:35 PM

KOTA KINABALU, 20 Jun (Bernama) -- Sabah akan menghantar kontinjen terkuat ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak 2024 serta Para SUKMA, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata kontinjen Sabah dijangka memberikan saingan sengit kepada negeri-negeri lain termasuk tuan rumah Sarawak.

“Saya yakin penganjuran SUKMA kali ini adalah dengan baik kerana Sarawak boleh melakukan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan selepas menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk SUKMA ke-21 Sarawak 2024 dan Para SUKMA ke-21 di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Deligasi jawatankuasa itu diketuai Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.

Selain memberi taklimat persiapan Sarawak, Abdul Karim turut menyerahkan surat jemputan rasmi kepada Hajiji untuk menghadiri majlis perasmian SUKMA ke-21 dan Para SUKMA ke-21 Sarawak 2024.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Abdul Karim berkata edisi ke-21 temasya dwitahunan kebangsaan itu hanya tinggal 58 hari lagi dan segala persiapan sudah cukup teratur dengan penganjurannya melibatkan sembilan bahagian di Sarawak.

“Sabah merupakan negeri terakhir yang dikunjungi jawatankuasa ini selepas mengunjungi semua negeri termasuk Brunei Darussalam,” katanya.

SUKMA ke-21 Sarawak 2024 berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara dan menghimpunkan 12,619 atlet serta pegawai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan