SUKAN > BERITA

NORZA MAHU TAEKWONDO TAMAT KEMARAU OLIMPIK DI LA28

21/06/2024 03:23 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mahu Taekwondo Malaysia (TM) menamatkan kemarau hampir dua dekad tiada wakil di Sukan Olimpik pada temasya Los Angeles 2028 (LA28).

Mohamad Norza meminta TM untuk menyediakan hala tuju ke arah LA28 sebagai persediaan awal supaya negara kembali mempunyai wakil untuk bertarung di pentas temasya terbesar dunia itu dalam masa empat tahun lagi. 

“Saya berharap Presiden TM Azizul Annuar Adenan dan Setiausaha Agung Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor menyediakan hala tuju bagaimana kita boleh buat persediaan awal untuk memastikan kita ada wakil di LA28 atau peringkat-peringkat tertinggi. 

“Sudah tentu langkah demi langkah, saya rasa ini adalah salah satu cara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar dan Kursus Penyegaran Pengadil Antarabangsa Kyorugi dan Poomsae Taekwondo Dunia di Wisma OCM di sini hari ini. 

Kali terakhir atlet taekwondo negara layak ke Olimpik adalah pada edisi 2008 di Beijing menerusi Elaine Teo dan Che Chew Chan, masing-masing beraksi dalam kategori wanita bawah 57kg dan lebih 67kg.

Mohamad Norza pada masa sama, memuji kemajuan yang dipamerkan TM di bawah kepimpinan dua individu tersebut, termasuk penganjuran seminar dan kursus pengadil itu di Malaysia selepas 20 tahun yang menarik penyertaan lebih 400 peserta dari 33 negara bermula hari ini hingga 29 Jun. 

“Ini salah satu cara meletakkan Malaysia di peta antarabangsa dan merancakkan pembangunan sukan ini, yang sedikit sebanyak memberi suntikan untuk bawa sukan ini ke peringkat lebih tinggi. Saya juga ingin menyatakan sokongan penuh untuk mengembalikan taekwondo sebagai sukan teras,” tambahnya. 

Sementara itu, Azizul Annuar menyahut saranan Mohamad Norza untuk melaksanakan hala tuju ke arah LA28 dan berkata pihak TM telah memulakan pencarian bakat muda pada tahun ini untuk dikembangkan menerusi penyertaan di kejohanan antarabangsa. 

Beliau berkata TM juga telah berjaya mendapatkan kelulusan Kesatuan Taekwondo Asia untuk menjadi penganjur Kejohanan Asia Remaja, Kadet dan Para Asia, serta mesyuarat agung kesatuan itu pada Julai tahun depan di Kuching, Sarawak.

“Kejohanan itu akan melibatkan ribuan peserta daripada 44 negara, pencapaian yang amat membanggakan semenjak saya menjadi presiden TM pada 2018. Sekurang-kurangnya bakat kita akan diketengahkan untuk pencapaian baik di Asia Remaja, memandangkan kita menjadi tuan rumah, jadi kita bergerak ke hadapan dari situ,” katanya. 

Beliau turut optimis bahawa pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan kembali menyenaraikan taekwondo sebagai sukan teras dalam masa terdekat, memandangkan ia masih di bawah pertimbangan dua organisasi itu. 

“Masih di peringkat perbincangan, tetapi sokongan dari pihak KBS dan MSN sememangnya memberangsangkan kerana selepas penyertaan di kejohanan luar negara dibiayai sendiri selama beberapa tahun, MSN sudah mula memberikan bantuan untuk hantar atlet kita ke luar negara sejak tahun lepas. 

“Malahan sebelum ini, bilamana kita ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan, kami masih mampu mendapatkan pingat emas Sukan SEA semenjak edisi 2019 dan pingat di Kejohanan Taekwondo Poomsae Dunia yang belum pernah dicapai oleh mana-mana atlet Malaysia sebelum ini. Itu seperti menjelaskan berapa banyak kami telah membangun dengan sokongan yang minima dari MSN,” katanya. 

Taekwondo, bersama-sama sepak takraw dan angkat berat telah digugurkan daripada sukan teras pada Disember 2017.

Skuad taekwondo negara berjaya merangkul tiga emas, dua perak dan tiga gangsa pada Sukan SEA Kemboja 2023, selepas pencapaian 1-2-5 dan 1-1-3 masing-masing pada Sukan SEA 2019 Filipina dan 2021 Vietnam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan