SUKAN > BERITA

TFC MAHU 'RANTAI' PENYERANG KUCHING CITY

21/06/2024 06:46 PM

KUALA NERUS, 21 Jun (Bernama) -- Pengendali Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada dengan kelibat dua penyerang import Kuching City FC (KCFC) dalam pertembungan aksi Liga Super di Stadium Negeri Sarawak, malam esok.

Steinbrucker berkata Jordan Mintah dan Kipre Tchetche yang juga bekas pemain skuad Penyu memiliki kualiti penyerang yang baik serta boleh memberi ancaman kepada pertahanan TFC.

Justeru, beliau mahu pemainnya lebih berhati-hati dan mengawal ketat dua tonggak tersebut daripada bergerak bebas di kawasan lawan.

"Jordan Mintah and Kipre Tchetche… kedua-duanya mempunyai kualiti yang baik. Bukan sebab mereka bekas pemain Terengganu tapi mereka memang penyerang hebat. 

"Saya percaya mereka akan membuat kita ‘susah’ di Kuching. Tapi saya maklumkan kepada pemain supaya berwaspada dan jangan hilang kawalan terhadap kedua-dua pemain itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Steinbruckner berkata TFC berada di landasan terbaik apabila menghuni tangga kedua liga ketika ini dan berjaya melangkah ke peringkat suku akhir saingan Piala FA minggu lepas.

“Kita mesti teruskan momentum ini untuk mencipta lebih banyak kemenangan. Kita akan berdepan Sabah dalam saingan Piala FA hujung bulan ini. Saya harap kita menang perlawanan ini supaya meningkatkan lagi motivasi,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan