SUKAN > BERITA

BAM JALIN KERJASAMA DENGAN PEMANDU ASSOCIATES SEBAGAI PERSIAPAN KE OLIMPIK 2028

21/06/2024 07:47 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah proaktif dengan mengumumkan kerjasama strategik dengan PEMANDU Associates (PA) hari ini dalam usaha melicinkan tatakelola badan induk itu untuk menduduki kelompok tiga terbaik dunia menjelang temasya Olimpik Los Angeles 2028. 

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata kerjasama itu akan menggunakan kepakaran firma perunding swasta untuk memastikan mereka ‘sama hebat’ dengan empat negara badminton utama iaitu China, Jepun, Indonesia dan Korea Selatan. 

“Tindakan ini menjadi contoh sebuah persatuan membawa masuk pihak profesional bagi menunjukkan bahawa kita telus dalam segala yang kita lakukan untuk penambahbaikan. Kita berhubung dengan mereka bukan untuk selesaikan masalah tetapi bagaimana mereka mahu mengurus kejayaan. 

"Mereka (PA) antara tiga syarikat membida dan kami pilih berdasarkan kredibiliti mereka sebelum ini. Kita bawa mereka masuk sebab kita memerlukan profesional yang faham cara melakukannya,” katanya kepada pemberita selepas sesi sidang media bersama Presiden dan Pengerusi PEMANDU Associates Datuk Seri Idris Jala di sini hari ini. 

Kerjasama ini menyaksikan PEMANDU Associates akan menjalankan semakan menyeluruh terhadap bidang operasi teras BAM, termasuk Jabatan Teknikal, Pembangunan dan Pengurusan Pemain, Pengurusan Kewangan, Tadbir Urus dan Pengurusan Prestasi.

Selain menjalankan proses tiga bahagian melibatkan sesi Analisis Diagnostik, Bengkel Strategik, Penyelesaian Masalah dan Makmal, pihak berkepentingan juga akan bertemu untuk memberikan buah fikiran dan input mereka.

Mohamad Norza memaklumkan kerjasama ini akan ‘meninggalkan jejak’ positif selepas beliau meninggalkan badan induk itu selepas Paris 2024 di mana beliau menyediakan laluan kepada ahli lembaga BAM menghadapi pelbagai cabaran pada tahun akan datang menjelang kejohanan utama jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan LA 2028. 

Beliau malah melahirkan keyakinan tinggi bahawa sasaran untuk mencapai kelompok tiga terbaik dunia bukanlah sukar untuk dicapai apabila beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Woi Yik kini berada di kedudukan lima terbaik dunia. 

Sementara itu, Idris Jala yakin sasaran tinggi ditetapkan BAM itu bukan sesuatu yang mustahil dengan baki tempoh lima tahun ini.

“60 tahun menghasilkan pemain legenda untuk pentas badminton dunia, sekarang masanya untuk BAM menemui cara baru untuk berkembang dan mempercepatkan kemajuan strategiknya ke hadapan.

Metodologi kami bertujuan untuk membawa kejelasan dan kemudahan objektif untuk mempercepatkan perubahan. Proses transformasi 360 darjah yang menyeluruh adalah penting untuk mencapai tiga kejayaan utama untuk semua pihak: secara konsisten melahirkan juara dunia di negara ini, memastikan kemampanan kewangan untuk meneruskan misi dan meningkatkan badminton sebagai sukan yang memberi ganjaran kewangan lumayan kepada atlet," katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai kerjasama antara badan induk itu dengan Petronas yang dijangka akan tamat hujung tahun ini, Norza berkata setakat ini mereka mendapat maklum balas positif.

BAM memeterai perjanjian penajaan terbesar dengan Petronas dalam sejarah selepas menandatangani perjanjian selama tiga tahun pada 2022 untuk meningkatkan prestasi badminton Malaysia menerusi latihan dan persediaan pemain kebangsaan terutama menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 selain turut memberi manfaat kepada program pembangunan menyeluruh BAM.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan