SUKAN > BERITA

AZZMI SERAH NASIB KEPADA PENGURUSAN NSFC

22/06/2024 01:36 PM

SEREMBAN, 22 Jun (Bernama) -- Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) Azzmi Ab Aziz sedia bertanggungjawab sepenuhnya susulan prestasi hambar pasukan dalam tiga perlawanan Liga Super musim ini. 

Justeru, beliau menyerahkan kepada pengurusan NSFC berhubung kedudukannya setelah kekalahan pasukan tiga kali berturut-turut dengan terbaharu, tewas kepada KL City FC 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.

Episod kekalahan NSFC bermula dengan aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-1 diikuti kekalahan 4-0 kepada Selangor FC.

"Memang sukar untuk saya terima kekalahan tiga kali berturut-turut ini, kita sedar pasukan berdepan tentangan sengit tetapi seharusnya pemain harus melakukan lebih baik dalam setiap perlawanan terutama ketika beraksi di laman sendiri,” katanya kepada pemberita di sini.

Azzmi turut melahirkan rasa kecewa apabila pemain import Jaque Faye dilayangkan kad merah sehingga memberi tekanan kepada pasukan pada aksi menentang KL City FC.

Beliau berkata pemainnya juga banyak melakukan kesilapan dalam perlawanan itu selain mengakui pasukan lawan mempamerkan aksi lebih berkualiti.

Pada perlawanan itu, gol KL City dijaringkan Brendan Gan, Paulo Josue dan S. Sharvin, masing-masing pada minit ke-27, 72 dan 90.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Ketua Jurulatih Azzmi Ab Azizi kekal di tangga tercorot liga. NSFC dijadualkan menentang Sri Pahang pada 13 Julai ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan