SUKAN > BERITA

SRAM TIDAK PERNAH LEKANG USAHA PERSIAP ATLET KE OLIMPIK

22/06/2024 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) tidak pernah lekang daripada usaha mempersiapkan ramai pemain berkaliber dalam tempoh beberapa tahun ini sebagai persediaan mengharungi Sukan Olimpik.

Presiden SRAM Gerard Monteiro berkata tumpuan mungkin dilihat terarah kepada pemain utama Ng Eain Yow dan S. Sivasangari sebagai sandaran, namun pihaknya sama sekali tidak mengetepikan peningkatan pemain muda lain yang turut mampu dijadikan taruhan pada temasya itu.

“Sekarang kita sudah ada Sivasangari dalam 10 terbaik (ranking dunia) dan menjadi matlamat kami serta beliau juga untuk mencapai ranking lapan terbaik secepat mungkin. Kami berharap beliau dapat diikuti oleh Aira Azman, Aifa Azman, Rachel Arnold untuk turut tersenarai.

“Apa yang pasti pemain ranking tertinggi akan kami hantar (ke Olimpik) dan jika yang lain agak jauh ke belakang mereka akan ke acara kelayakan. Ini bukan untuk sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) sahaja bahkan Sukan Olimpik 2032 di Brisbane, Australia,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SRAM di sini hari ini.

Gerard berkata SRAM dalam masa sama membuka ruang buat pemain untuk menjalani latihan di luar negara sebagai usaha meningkatkan prestasi mereka.

“Macam Sivasangari masih di Amerika Syarikat (AS), Eain Yow dan C. Ameeshenraj di Bristol, jadi dalam kalangan empat atau enam pemain ranking tertinggi lelaki dan wanita majoriti mereka kebanyakan masa akan menjalani latihan di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Gerard berkata pihaknya pada masa sama mengikuti rapat perkembangan legenda skuasy negara Ong Beng Hee yang membuka akademi di China dalam usaha memberi impak kepada pembangunan skuasy di negara tersebut.

“Sekarang kita ada kumpulan pemain baharu yang mampu beraksi dengan baik untuk Malaysia dalam empat hingga enam tahun akan datang. Memang betul China melaburkan banyak wang bagi sukan skuasy  untuk Olimpik dan dapatkan Beng Hee seorang daripada pemain terbaik dunia, kita akan sentiasa perhati perkembangan ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan