SUKAN > BERITA

AKMAL HAKIM JUARA SELANGOR INTERNATIONAL RACE 2024 ANJURAN PKNS

23/06/2024 05:11 PM

SHAH ALAM, 23 Jun (Bernama) -- Pelumba Malaysia Pro Cycling Akmal Hakim Zakaria muncul juara kategori lelaki A kejohanan berbasikal Selangor International Race (SIR) 2024 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang berakhir hari ini. 

Naib juara disandang Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengekori rapat Akmal Hakim sehingga garisan penamat manakala tempat ketiga dirangkul oleh Azli Najmi Zulkefli daripada pasukan JBC.

Bagi kategori lumba terbuka wanita, johan dirangkul Zaleeka Zailan daripada TAC Opening A, naib juara Siti Nur Adibah Akma (ISportsXKasawarimotors Racing) manakala tempat ketiga dirangkul Guan Joo Yoke (Specialized PJ).

Pemenang membawa pulang jersi dan wang tunai RM1,500 manakala naib juara serta tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM1,000 dan RM750 serta plak.   

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon berkata perbadanan itu bercadang menjadikan kejohanan SIR sebagai acara tahunan bagi menggilap lebih ramai bakat pelapis negara.

Beliau berkata penganjuran SIR membuktikan komitmen PKNS dalam membangunkan sukan berbasikal di peringkat tempatan khususnya di Selangor dengan memberi tumpuan kepada penganjuran acara sukan bertaraf profesional bagi menarik minat pelumba tempatan dan antarabangsa. 

“PKNS kini banyak anjurkan kejohanan sukan lain seperti badminton, golf dan terkini berbasikal. Ia juga sebagai usaha untuk mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan (sport tourism) yang berkembang pesat.

“Kita mahu PKNS dikenali bukan sahaja pemaju hartanah atau perumahan tetapi penganjur kejohanan sukan bertaraf antarabangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi penamat kejohanan itu di ibu pejabat PKNS di sini hari ini.

Terdahulu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melepaskan 1,000 peserta kejohanan SIR 2024 sejauh 145 kilometer yang merentasi lebuh raya, laluan berbukit serta projek perbandaran PKNS seperti Kota Puteri, pekan ljok dan berakhir di Shah Alam.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata kejohanan itu mendapat maklum balas positif apabila permohonan menyertai SIR oleh pelumba luar negara meningkat ketara berbanding tahun lepas.

“Kita dapati ada peningkatan 15 peratus dari segi permohonan daripada peserta luar negara, namun kita terpaksa menolak dan kekal dengan 1,000 peserta sebagaimana penganjuran sebelum ini kerana mahu mengekalkan kualiti kejohanan,” katanya.

Edisi kedua SIR 2024 menghimpunkan pelumba tempatan dan juga dari sembilan negara iaitu Great Britain, Jepun, Singapura, Brunei, Australia, Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Jerman.

SIR 2024 mendapat kerjasama strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan Selangor Youth Community (SAY).  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan