SUKAN > BERITA

FAM SEDIA BANTU SABAH DAPATKAN IMPORT TERBAIK HARUNGI PLAY-OFF AWCL 2024/25

24/06/2024 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia membantu pasukan bola sepak wanita Sabah mendapatkan khidmat pemain import berkualiti bagi mengharungi perlawanan play-off Liga Juara-Juara Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AWCL) 2024/25 pada 25 hingga 31 Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita FAM Datuk Suraya Yaacob berkata setiap pasukan bertanding dalam saingan itu diberikan kuota untuk mendapatkan khidmat enam pemain import.

“FAM akan bantu mereka untuk dapatkan pemain luar yang bagus. 

“Kita akan minta Ketua Penasihat Teknikal Bola Sepak wanita negara (Soleen Al Zoubi) untuk menasihati pasukan Sabah bagi (dapatkan) pemain yang bersesuaian dengan mereka,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Mengulas mengenai kejayaan Sabah sebagai wakil tunggal negara beraksi dalam play-off AWCL 2024/25, Suraya berkata ia menunjukkan perkembangan positif dalam sukan bola sepak wanita dan berharap skuad wanita itu mampu mara ke peringkat seterusnya.

“Penanda aras bola sepak wanita di negara ini adalah Sabah dan ia tidak boleh dinafikan kerana negeri itu sudah bermula awal dan ada akar umbi yang sangat besar. Mereka juga berterusan setiap tahun melaksanakan kejohanan liga.

“Saya percaya mereka boleh layak untuk ke pusingan seterusnya dan beri saingan sengit kepada pasukan lawan di kejohanan tersebut,” katanya.

Pasukan bola sepak wanita Sabah meraih tiket ke play-off AWCL 2024/25 selepas muncul juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2023.

Sabah akan berentap bersama 14 pasukan lain bagi merebut slot ke pusingan seterusnya untuk bersama lapan lagi pasukan teratas yang telah layak berdasarkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Empat juara kumpulan layak ke peringkat kumpulan yang akan menyaksikan 12 kelab berentap bagi melayakkan ke AWCL yang dijadualkan berlangsung pada Januari 2025.

Menurut Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), pasukan yang layak ke peringkat kumpulan akan mendapat sekurang-kurangnya US$100,000 (kira-kira RM470,00) dan Sabah berpeluang untuk merebut hadiah itu sekiranya berjaya melepasi peringkat kelayakan ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan