SUKAN > BERITA

SHEREEN MASIH BERHARAP UNTUK KE OLIMPIK PARIS 2024

25/06/2024 06:21 PM

SEPANG, 25 Jun (Bernama) -- Pemegang rekod kebangsaan 400 meter (m) wanita negara Shereen Samson Vallabuoy masih berharap untuk beraksi di Sukan Olimpik 2024 di Paris walaupun gagal melayakkan diri secara merit melalui catatan masa atau ranking dunia dalam acara kegemarannya.

Atlet berusia 25 tahun itu berkata walaupun terdapat kemungkinan untuk beralih kepada acara 100 m dalam pertandingan itu, dia akan menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dengan hati terbuka selepas bekerja keras untuk melayakkan diri ke temasya sukan dunia paling berprestij itu.

"Saya fikir Muhammad Azeem Fahmi dan saya telah bekerja keras. Kesimpulannya, kami berdua mahu mendapatkan wild card dan bertanding di Olimpik.

“Apa jua keputusannya, saya akan bersyukur dan gembira untuk kami berdua dan menerimanya,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Terdahulu, Shereen gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 walaupun beliau memenangi pingat emas dalam acara 400 m wanita pada Terbuka Kazakhstan di Almaty Sabtu lepas dengan masa 52.60 saat (s) kerana ia tidak cukup untuk melepasi masa kelayakan 50.95s untuk tiket automatik ke Olimpik Paris.

Sukan Olimpik 2024 dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

Sementara itu, Shereen berkata sekiranya tiket wild card tidak memihak kepadanya, dia masih berharap diberi peluang untuk meneruskan latihan di Amerika Syarikat di bawah bimbingan jurulatih Darrick White.

Beliau berkata latihan di Amerika Syarikat adalah baik untuknya dalam mempersiapkan diri menghadapi acara-acara besar seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel yang kedua-duanya pada 2026.

"Saya tidak tahu bagaimana keadaannya selepas ini, jadi saya akan berjumpa dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membincangkan masa depan saya. Matlamat jangka panjang saya adalah untuk bertanding di Sukan Olimpik Los Angeles 2028, Kejohanan Dunia, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

"Saya rasa larian saya lebih mantap dan tidak terhenti seperti sebelum ini, dan saya juga dapat melihat banyak peningkatan. Saya ingin meneruskan latihan di sana untuk tahun-tahun akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan