SUKAN > BERITA

SUKAN OLIMPIK: JIN WEI KE PARIS TANPA ARMADA

25/06/2024 08:37 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Pemain badminton profesional perseorangan wanita negara Goh Jin Wei  terpaksa berjuang pada penampilan sulung di Sukan Olimpik bagi edisi 2024 di Paris tanpa jurulatih Nova Armada di sisinya.

Jin Wei berkata permintaannya untuk membawa jurulatih dari Indonesia itu kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak berjaya susulan kuota kad akreditasi yang terhad dikeluarkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

“Sebelum ini memang pernah lalui (tiada jurulatih di sisi), namun kali ini sangat penting kerana Sukan Olimpik sekali seumur hidup,” katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin di sini hari ini.

Walaupun menyedari sukar baginya beraksi tanpa panduan jurulatih dari belakang gelanggang, namun pemain ranking ke-33 dunia itu akan cuba untuk menyesuaikan diri dengan situasi tersebut.

Ditanya sama ada bersedia menerima bantuan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Paris, Jin Wei sebaliknya menyatakan barisan kejurulatihan BAM mungkin berdepan kesukaran untuk mengadaptasi corak latihan dan permainannya.

Biarpun tanpa jurulatihnya, pemain berusia 24 tahun yang bakal terbang ke Paris pada 23 Julai nanti berkata tetap menerima khidmat sokongan ditawarkan oleh Institut Sukan Negara (ISN) sepanjang Sukan Olimpik 2024.

Dalam pada itu, Hamidin berkata Jin Wei akan dibantu termasuk mendapat bimbingan dari Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky sepanjang berada di sana.

Beliau berkata pemain dari Pulau Pinang itu juga tidak perlu gusar memandangkan beliau akan dijaga oleh MOM, Majlis Sukan Negara dan skuad badminton negara termasuk ketika menetap di perkampungan sukan nanti.

“Nova Armada boleh datang ke Paris namun susah ke pusat latihan kerana jumlah kontinjen kita kecil dan peratusan untuk mendapat kad akreditasi pula sukar,” katanya.

Sukan Olimpik 2024 bakal membuka tirai secara rasmi pada 26 Julai dan berakhir 11 Ogos ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan