SUKAN > BERITA

FAIZ HELMI KEMBALI PERKUAT SPEEDY TIGER

26/06/2024 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Tonggak pertahanan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Faiz Helmi Jali dipanggil semula untuk memperkuatkan skuad hoki negara yang beraksi di Siri Jelajah Perlawanan Antarabangsa Eropah pada 1 hingga 14 Julai ini.

Ketua jurulatih hoki lelaki kebangsaan Sarjit Singh berkata pengalaman luas dimiliki pemain berusia 32 tahun itu ditagih bagi memantapkan kekuatan pasukan negara khususnya di benteng pertahanan.

“Selepas melalui dua kejohanan, barisan kejurulatihan berpendapat kami memerlukan khidmat pemain yang lebih berpengalaman untuk memberikan nilai tambah kepada pasukan dan Faiz Helmi Jali diberikan peluang untuk kembali.

“Beliau telah menjalani sesi latihan selama dua minggu dan barisan kejurulatihan melihat kehadirannya mampu untuk membantu pasukan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini.

Faiz Helmi yang mempunyai 215 penampilan dalam pasukan bermain kali terakhir untuk Speedy Tigers semasa kelayakan Olimpik Asia di Oman pada Januari, selain beliau sebelum ini tidak berada dalam radar skuad berwajah baharu Sarjit yang menumpukan usaha membina pasukan lebih muda untuk menyahut cabaran di Sukan Asia 2026 di Jepun. 

Sementara itu, Sarjit berkata siri jelajah berkenaan akan digunakan sebagai medan buat dirinya dan barisan kejurulatihan untuk menilai tahap prestasi pasukan terutamanya ketika beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi.

“Barisan kejurulatihan juga berharap pasukan dapat memperbaiki kesilapan telah dikenal pasti pada dua kejohanan lalu dan setiap pemain perlu mengambil pengalaman pada aksi cukup berkualiti. Mereka perlu memperbaiki diri sendiri bagi membantu pasukan dan belajar sebanyak mungkin daripada pasukan-pasukan handalan dunia ini,” katanya.

Selain Faiz Helmi, penyerang muda negara, Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim turut dipanggil semula selepas namanya tidak tersenarai dalam pasukan Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara (Nations Cup) baru-baru ini.

Dalam senarai itu, Sarjit turut menggugurkan lima pemain iaitu penjaga gol Adrian Andy Albert, pemain pertahanan Luqman Nul Hakim, Muhammad Arif Syafie Ishak, pemain tengah Mughni Mohamad Kamal, Naaveennash Panicker menjadikan 20 pemain sahaja dibawa ke siri jelajah itu.

Pada siri jelajah itu, tujuh perlawanan telah diatur buat pasukan negara yang akan turun bertemu dengan pasukan di ranking utama dunia seperti Belanda, Belgium, Jerman, India dan Kelab Hoki Monchengladbach.

Daripada tujuh perlawanan itu, enam darinya merupakan aksi persahabatan manakala satu perlawanan iaitu bertemu Jerman pada 9 Julai merupakan perlawanan ujian yang mana aksi itu tidak menawarkan mata ranking.

Pasukan hoki lelaki kebangsaan akan berlepas ke Brussels, Belgium pada 28 Jun dan kembali ke ibu negara pada 16 Julai ini. 

 

Berikut adalah senarai 20 pemain dipilih: 

Penjaga gol: Muhamad Zaimi Mat Deris, Che Shahrul Azmi Che Saufi.

Pemain pertahanan: Muhammad Marhan Jalil (Kapten), Muhamad Amirul Hamizan Azhar, Muhamad Syafiq Hassan, Muhamad Faris Harizan, Muhamad Kamarulzaman Kamarudin, Syarman Mat Tee, Faiz Helmi Jali.

Pemain tengah: Mohd Fitri Saari, Nik Muhamad Aiman Nik Rozemi, Shello Silverius, Alfarico Lance Liau Jr, Syawal Abdul Razak.

Penyerang: Faizal Saari, Muhamad Azrai Aizad Abu Kamal, Norsyafiq Sumantri, Azimuddin Syakir Kamaruddin, Tengku Nasrul Ikmal Hakimi Tengku Abd Rahim dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan