SUKAN > BERITA

NTC DI PUTRAJAYA CONTOH HEBAT PROGRAM FIFA FORWARD - INFANTINO

26/06/2024 10:41 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Projek pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Presint 5, Putrajaya merupakan contoh hebat apa yang boleh dilakukan menerusi Program Pembangunan ‘FIFA Forward'.

Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino berkata beliau gembira kerana Program  FIFA Forward memainkan peranan penting dalam bola sepak Malaysia kerana NTC akan menjadi mercu tanda untuk sukan itu di negara ini.

“Hari ini, semasa anda mengambil langkah pertama ke arah membina pusat latihan kebangsaan anda, anda juga mengambil langkah pertama dan penting ke hadapan untuk FAM dan untuk bola sepak di negara ini.

“Seiring dengan sokongan kerajaan Malaysia, tahniah sekali lagi dan saya berharap untuk berpeluang melihat hasil semua kerja keras anda apabila melawat Malaysia nanti,” katanya dalam video yang disiarkan di Instagram hari ini.

Menurut Laporan FIFA Foward Global, yang dikeluarkan Disember tahun lalu,  FIFA menetapkan sekitar RM12 billion (AS$2.54 bilion) pelaburan dalam 211 persatuan anggotanya serta dalam enam konfederasi dan pelbagai persatuan zon/serantau untuk meningkatkan pembangunan bola sepak.

Terdahulu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan projek NTC itu dengan kos keseluruhan RM69 juta merangkumi pembinaan dua fasa dengan Fasa 1 dibiayai FIFA berjumlah AS$5.2 juta (kira-kira RM24 juta) manakala Fasa 2 menggunakan peruntukan RM45 juta daripada kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Fasa 1 NTC dijadualkan siap menjelang Disember 2026 dan Fasa 2 menjelang Disember 2027.

Fasa 1 projek NTC yang dilaksanakan oleh syarikat tempatan RS Green Master (M) Sdn Bhd merangkumi pembinaan tiga padang bola sepak dengan jenis rumput berbeza iaitu rumput asli (Bermuda), hibrid dan tiruan serta dilengkapi lampu limpah sepenuhnya dan sistem saliran berkualiti, landskap dan pagar setinggi enam meter di sekeliling kawasan padang.

Fasa 2 pula akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan tender dijangka dibuka pada September 2024 membabitkan pembinaan sebuah bangunan seluas 1,682.8 meter persegi merangkumi gimnasium, ruang serba guna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau, selain pembinaan bumbung bagi padang rumput tiruan yang dibina pada Fasa 1.

Projek NTC FAM bakal menjadi sebahagian daripada bandar bola sepak di Presint 5 yang turut dilengkapi ibu pejabat FAM dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) serta sebuah stadium mini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan