SUKAN > BERITA

PIALA FA: TERENGGANU BERPESTA GOL, KEDAH BAWA BEKALAN TIPIS KE ALOR SETAR

29/06/2024 12:06 AM

KUALA NERUS, 28 Jun (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) membelasah Sabah FC 4-0 pada saingan suku akhir pertama Piala FA 2024/2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini malam ini.

Keputusan itu menyaksikan TFC yang juga finalis Piala FA 2022 membawa bekalan selesa ke tempat lawan pada aksi suku akhir kedua di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 6 Julai depan.

Anak buah Tomislav Steinbruckner mengejutkan pasukan pelawat menerusi gol pembukaan Manuel Ott yang menolak masuk bola hasil hantaran Muhammad Safawi Rasid seawal minit kesembilan. 

Ott kemudian membantu jaringan Ismaheel Akinade pada minit ke-37 bagi menceriakan lebih 15,000 penyokong skuad Penyu.

Lima minit berselang, gawang Sabah bocor lagi menerusi rembatan deras Marin Pilj dari dalam kotak penalti disusuli jaringan kedua Akinade pada minit ke-48.

Dalam satu lagi aksi, Kedah Darul Aman (KDA) FC membawa bekalan tipis untuk aksi separuh akhir kedua apabila mengatasi Penang FC 1-0 di Stadium Bandaraya di Pulau Pinang.

Pemain tengah gantian Mohamad Hasbulllah Abu Bakar muncul penyelamat apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-73 setelah penjaga gol Penang FC Sikh Izhan gagal menangkap kemas tendangan kapten pasukan KDA FC Sony Norde.

Pasukan pelawat menambah jaringan dua minit kemudian menerusi pemain import Ebenezer Assifuah namun gol itu dibatalkan pengadil perlawanan Ahmad Zuhaidi Dzulkifli kerana ofsaid.

Aksi timbal balik kedua-dua pasukan akan berlangsung pada 5 Julai ini di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan