SUKAN > BERITA

AUG 2024: OLAHRAGA SUMBANG DUA PINGAT EMAS

02/07/2024 08:35 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

SURABAYA, 2 Julai (Bernama) -- Skuad olahraga negara memulakan kempen Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 dengan menyumbang dua pingat emas pada aksi yang berlangsung di Lapangan Atlatik Universitas Surabaya di sini hari ini. 

Atlet lompat jauh Andre Anura Anuar menuai emas selepas membuat lompatan 7.46 meter (m) menewaskan atlet Indonesia Arifianto Firmansyah (7.42m) manakala gangsa milik Xaidavanh Vongsavanh (7.23m) dari Laos.

Mengenai lompatan hari ini, Andre berkata dia berpuas hati dapat mempertahankan pingat emas negara dalam acara itu yang diraih Luqman Hakim Ramlan pada edisi 2022. 

"Keseluruhan dari segi rentak dan larian hari ini semua berubah, lompatan keempat baru saya dapat rentak dan kelima baru dapat lompatan bagus. 

"Apa yang saya buat cuba ingat apa yang saya buat dengan jurulatih dan ia akhirnya menjadi," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Emas kedua hadir menerusi atlet lempar cakera negara Queenie Ting Kung selepas melakukan lemparan 45.23 meter (m) meninggalkan dua pencabar tuan rumah Wahyu Nur Aini (43.14m) dan Maria Aviliationo (42.47m) untuk pingat perak dan gangsa.

Lempar cakera lelaki pula membutirkan pingat perak menerusi Kamal Farhan A. Rahman yang melakukan lemparan 45.66m, manakala emas dan gangsa milik atlet Thailand Kiadpradid Srisai (49.46m) dan Ekkarin Boonlap (42.46m).  

Pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi pula terpaksa akur dengan pingat perak selepas mencatat masa 10.37 saat (s) di belakang pelari tuan rumah Lalu Muhammad Zohri yang mencatat 10.19s. 

Pingat gangsa pula milik Jaelani Fatah Sidek juga dari Indonesia dengan catatan 10.59s. 

Acara 400m lari berpagar wanita turut menyumbang pingat perak dan gangsa kepada kontinjen negara masing-masing menerusi Mandy Goh Li 1:01.90s dan Frenynila Sherly Lucius (1:05.89s) di belakang pelari tuan rumah Nela Augustin (1:00.09s). 

Satu lagi pingat gangsa disumbangkan Ruslem Zikry Roseli menerusi acara 400m lari berpagar lelaki dengan catatan masa 56.33s di belakang atlet tuan rumah Hamomoan Binsar (52.98s) yang merangkul emas dan Natthapho Dansungsoen (55.29s) dari Thailand meraih perak. 

Tumpuan kontinjen Malaysia pada hari kelapan temasya dwitahunan itu esok sekali lagi pada acara olahraga selain sukan tempur, memanah dan sepak takraw yang bakal memulakan saingan. 

Malaysia setakat ini meraih keseluruhan 17 pingat emas, 22 pingat perak dan 16 pingat gangsa untuk berada di kedudukan ketiga dalam carta pungutan pingat di belakang Indonesia dan Thailand. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan