SUKAN > BERITA

BINTANG SKUASY MENINGKAT NAIK SANJAY MAHU 'BERSINAR' DI LA28

03/07/2024 03:28 PM

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Bintang skuasy meningkat naik Sanjay Jeeva menetapkan sasaran untuk bertanding pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) iaitu penampilan pertama sukan itu dalam temasya sukan terbesar dunia tersebut. 

Bagi mencapai misi LA28, atlet berusia 24 tahun itu, yang kali pertama mewakili Malaysia pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia Lelaki (MWTC) di Tauranga, New Zealand, Disember lepas, menyasarkan untuk berada dalam kelompok 50 terbaik menjelang akhir tahun ini, daripada kedudukannya ke-69 sekarang.

"Menjelang akhir musim depan, saya mahu berada dalam 40 terbaik dan dapat bertanding dalam Kejohanan Asia. Matlamat jangka panjang saya ialah melayakkan diri ke LA28," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Walaupun kini merupakan pemain perseorangan lelaki ketiga negara dan telah berkecimpung dalam sukan itu sejak kecil, Sanjay hanya mula meraih perhatian media tahun lepas, memandangkan beliau membesar di Brussels, Belgium.

Sanjay mengikuti keluarganya berpindah ke Belgium ketika berumur dua tahun susulan tuntutan kerja ibunya, Asha, yang berkhidmat di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Berikutan itu, Sanjay berpeluang mempelajari pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Perancis, Sepanyol, Belanda, Jepun dan Mandarin selain Bahasa Melayu.

Sanjay yang mula bermain skuasy pada usia 10 tahun sebagai aktiviti rekreasi hujung minggu dan menyertai pertandingan antarabangsa pertamanya, Terbuka Remaja Luxembourg, dua tahun kemudian dalam kategori bawah 13 tahun.

Peluang latihan yang terhad dan mahal di Belgium tidak memadam kesungguhan dan minatnya untuk sukan itu.  

Beliau kemudian berpeluang mewakili Negeri Sembilan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dan 2022, sebelum membantu pasukan negara meraih tempat ke-11 pada MWTC dan terbaharu, merangkul emas dalam acara perseorangan lelaki dan berpasukan campuran.

"Apa yang paling memuaskan saya ialah melihat hasilnya, walaupun lambat, bukan sahaja dalam memenangi perlawanan tetapi juga dalam apa yang saya rasa secara mental dan fizikal. Satu lagi ialah dapat pergi ke tempat orang, melihat dunia dan bertemu orang baharu.

"Inspirasi terbesar saya ialah (bekas pemain nombor satu dunia dan juara dunia tiga kali) Ramy Ashour dari Mesir. Sejak kecil, saya sering menonton beliau bermain. Cara beliau bermain skuasy tidak sama seperti orang lain, membuatkan saya cuba bermain seperti beliau dan mendorong saya untuk menjadi seperti beliau," katanya.

Selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam Biologi di Franklin & Marshall College (F&M) di Amerika Syarikat pada 2021, Sanjay terus menetap di Amerika sebagai pemain skuasy profesional yang mengikuti jelajah sekali gus membolehkan beliau berlatih dan bertanding dalam kejohanan selain menjadi jurulatih bagi menjana pendapatan.

"Selepas menamatkan pengajian dari kolej di Amerika, saya berdikari dengan bantuan ibu bapa dan bermain dalam jelajah profesional. Semakin baik prestasi saya, lebih banyak saya melabur dalam latihan dan lebih banyak perbelanjaan. Paling mencabar, mendapatkan dana bagi menyertai jelajah," tambahnya.

Daripada 26 kejohanan disertainya dalam jelajah PSA, Sanjay telah merangkul empat kejuaraan iaitu DreadSport Pro Series I, Intensity Squash Satellite dan Lifetime Open pada 2022 serta Terbuka Bermuda 2024,

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan