SUKAN > BERITA

MALAYSIA CAPAI SASARAN 35 EMAS AUG 2024 MENERUSI SUREEYA

05/07/2024 09:02 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

MALANG (Indonesia), 5 Julai (Bernama) -- Malaysia berjaya mencapai sasaran 35 pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 hari ini dengan kilauan emas dinanti-nantikan oleh kontinjen negara disumbangkan oleh atlet karate negara H. Sureeya Shankar.

Kilauan emas itu hadir apabila Sureeya mudah menumbangkan pencabar Thailand Calermpon Piwlaaiad 9-1 pada final dalam acara kumite bawah 60 kilogram (kg) lelaki  pada saingan yang berlangsung di Universitas Islam Malang (UNISMA) di sini.

Beliau sebelum itu berjaya menewaskan atlet tuan rumah Muhammad Yusof Bintang Susanto 11-3 pada  pusingan kelayakan untuk mara ke final. 

Sureeya ketika ditemui pemberita berkata beliau sangat gembira kerana mampu mempertahankan pingat emas dimenanginya pada AUG edisi 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand, selain muncul atlet yang melengkapkan sasaran pingat emas kontinjen Malaysia. 

“Sangat gembira...meskipun mengalami kecederaan ringan di kaki pada saingan kelayakan tetapi menguatkan semangat untuk melangkah ke final,” katanya selepas aksi itu.

 Sebelum itu, Malaysia  telah menuai lima emas iaitu tiga oleh skuad olahraga menerusi kuartet 4x400 meter (m) lelaki dan wanita Mohd Rizzua Haizad Muhammad dalam acara 110m lari berpagar lelaki.

Atlet taekwondo negara, Muhammad Syafiq Zuber pula menamatkan penantian 16 tahun kontinjen negara dalam acara kyorugi di AUG selepas meraih emas acara lelaki kyorugi bawah 87 kilogram (kg) serta Mohammad Firdaus Mohd Israj dalam acara silat olahraga Putra B.

Pada edisi 2022 di Ubon Ratchathani, kontinjen negara turut melepasi sasaran awal 35 emas sebelum menutup kempen dengan 49 emas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan