SUKAN > BERITA

GANJARAN SAMA MENANTI ATLET PULAU PINANG RAIH PINGAT PADA PARA SUKMA

13/09/2024 10:29 PM

KEPALA BATAS, 13 Sept (Bernama) -- Atlet para Pulau Pinang yang berjaya meraih pingat pada temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024, bakal menerima jumlah insentif yang sama seperti pemenang pingat SUKMA.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi Zi Sen berkata imbuhan menerusi Skim Insentif Kecemerlangan Sukan (SKIMAS), akan diberikan kepada semua atlet yang menyumbang kilauan pingat tanpa mengira warna.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah yang akan diberikan dan memaklumkan perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi.

“Tiada diskriminasi antara atlet para dan atlet biasa, semua yang menyumbang kilauan pingat akan diberikan ganjaran sama,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Pulau Pinang ke temasya Para SUKMA 2024 di sini hari ini.

Majlis penyerahan bendera itu dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan turut dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Pulau Pinang (PESRON) Prof Madya Dr Mohd Sharizal Abdul Aziz.

Daniel yang juga Ketua Kontinjen (CDM) Pulau Pinang berkata pihaknya menyasarkan untuk membawa pulang 16 pingat emas,12 perak dan 17 gangsa, menerusi 113 acara daripada 10 jenis sukan yang ditandingi.

“Pada temasya kali ini, kita mempertaruhkan 83 atlet untuk bersaing merebut pingat dengan sasaran 16 emas, tambahan satu emas berbanding 15 emas yang berjaya dibawa pulang pada edisi sebelumnya.

“Saya dimaklumkan kontinjen para Pulau Pinang telah menjalani latihan secara intensif sejak Januari, justeru yakin dengan usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan akan membawa pulang pingat seperti yang disasarkan,” katanya.

Para SUKMA 2024 akan berlangsung di Sarawak pada 22 hingga 28 Sept ini.

Daniel berkata pihaknya sedang mempertimbang pemberian elaun khas kepada jurulatih yang menabur bakti melatih dan membimbing atlet para secara sukarela, tanpa menerima sebarang bayaran mahu pun gaji selama ini.

Beliau berkata cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang, bagi membincangkan secara terperinci termasuk jumlah yang akan diberikan kelak.

“Kita sedang kenal pasti berapa jumlah jurulatih yang terlibat. Pengumuman mengenainya akan dibuat nanti selepas kita dapat semua perincian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan