SUKAN > BERITA

KELAB BOLA SEPAK PERLU BERPIJAK DI BUMI NYATA, IKUT KEMAMPUAN KEWANGAN - PENGANALISIS SUKAN

16/09/2024 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Kelab-kelab bola sepak negara harus bijak mengendali kewangan kelab masing-masing dengan telus dan mengikut kemampuan agar tidak terus terjerumus dengan isu tunggakan gaji yang menjadi ‘barah’ kepada kancah Liga Malaysia (Liga-M). 

 Penganalisis sukan tempatan Mohd Sadek Mustafa berkata setiap kelab perlu berpijak di bumi yang nyata dari segi kewangan dan tidak terlalu bermewah-mewahan semata-mata untuk mengikut kemampuan kelab pasukan lain. 

“Kebanyakan kelab nak ikut macam pasukan besar yang mampu memberi kemewahan, itu yang menjadi masalah. Jadi apa harus dilakukan, kelab tiada masalah perlu mengekalkan keupayaan mereka mewujudkan bajet yang telus dan buat apa mereka mampu.

“Kalau tidak, berapa lama kelab boleh bertahan dan berapa lama penaja mahu menaja kelab, Liga-M perlu berpijak di bumi nyata, tidak perlu bermegah-megah, perkara ini kronik tapi tidak digembar-gemburkan,” katanya kepada Bernama hari ini.   

Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu menyifatkan masalah tunggakan gaji sudah menjadi semakin kronik dan mewujudkan persekitaran tidak sihat dalam liga tempatan. 

Beliau berpendapat masalah ini seharusnya diletakkan di ‘bahu’ kelab persatuan masing-masing dan tidak melibatkan campur tangan kerajaan. 

“Kementerian Belia dan Sukan tak boleh buat apa-apa kecuali bantu pemain dari segi kemahiran dan lain-lain, ia di bawah tanggungjawab persatuan dan pemegang taruh, ia tak sama dengan persatuan yang berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri,” katanya. 

Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli berpandangan badan induk bola sepak negara, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu berganding bahu untuk lebih serius menangani masalah tunggakan gaji dalam kalangan kelab bola sepak negara. 

“Setidak-tidaknya panggil semua pasukan yang bermasalah, bincang dan cari permasalahan dan cadang solusi yang boleh dibuat, menunjukkan keprihatinan dengan isu ini. Di peringkat FAM dan MFL juga perlu melihat adakah struktur liga tempatan membebankan pasukan atau tidak.

“Kalau kita tak bendung masalah tunggakan gaji, akan hilang satu persatu kelab beraksi di liga, lama kelamaan tiada saingan sengit, yang kedua, kelab-kelab ini berdepan tindakan mahkamah secara tidak langsung mencemarkan nama baik liga tempatan,” katanya. 

Liga-M musim ini menyaksikan bebeberapa pasukan terpalit dengan masalah tunggakan gaji antaranya ialah Kuala Lumpur City, Kedah Darul Aman dan Perak FC.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan