TINTA MINDA

ORKID MALAYSIA TEMBUSI PASARAN DUNIA

24/06/2024 10:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Mohamad Letfee Ahmad

Pertumbuhan ekonomi negara dalam pelbagai sektor semakin memberangsangkan selepas negara selamat melalui fasa pascapandemik COVID-19. Ini termasuk sektor pertanian yang merupakan nadi aktiviti ekonomi negara.

Salah satu industri yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 ialah florikultur terutama yang melibatkan produk eksport. Pandemik ini banyak memberikan impak kepada industri florikultur negara yang jatuh nilai eksportnya berbanding sekitar RM500 juta setahun sebelum ini.

Malaysia antara negara pengeksport utama bunga-bungaan di dunia. Dari tahun 2016 hingga 2020, nilai eksport industri florikultur ialah sebanyak RM2.44 bilion. Berdasarkan statistik industri florikultur dunia, Malaysia merupakan negara pengeksport ke-9 pada tahun 2021 dengan nilai RM407.2 juta.

Tingkat nilai eksport

Jabatan Pertanian Malaysia melalui Unit Industri Florikultur, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman sentiasa berusaha meningkatkan nilai eksport dengan mencari pasaran baharu untuk produk bunga-bungaan. Pada tahun 2021, jabatan itu telah memulakan kerangka projek eksport orkid Mokara ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu sebaik sahaja negara memasuki era pascapandemik.

Orkid merupakan tanaman bunga yang menjadi pilihan kerana dianggap sebagai komoditi yang mempunyai nilai jualan yang tinggi. Industri florikultur terutamanya orkid mempunyai pasaran yang luas dan berpotensi untuk dikembangkan.

Eksport orkid negara pada 2022 adalah lebih 977.2 tan dengan nilai pasaran RM9.34 juta daripada keseluruhan industri florikultur negara berjumlah RM420 juta (40,032 tan). Menurut portal TrendEconomy, pada tahun sama, Malaysia ialah pengeksport terbesar industri florikutur dalam kalangan negara anggota ASEAN dan berada pada tangga ke-10 di dunia.

LEOD rintis pasaran Dubai

Sebagai langkah proaktif, Jabatan Pertanian telah melaksanakan projek rintis dengan membuka tiga ladang orkid seluas 29.14 hektar di Lukut dan Linggi, Negeri Sembilan serta Sepang, Selangor yang diusahakan oleh peladang tempatan. Projek tersebut yang dinamakan Ladang Eksport Orkid Dubai (LEOD) ditubuhkan bagi memfokuskan usaha menghasilkan orkid Mokara untuk pasaran Dubai. LEOD yang beroperasi menggunakan teknologi tinggi termasuk Internet Benda (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) dijangka mampu mengeluarkan sejumlah 3.88 juta keratan orkid Mokara setiap tahun.

Orkid Mokara yang merupakan salah satu daripada 1,000 spesies orkid di Malaysia sangat sesuai dijadikan bunga keratan untuk pasaran eksport kerana spesies itu tahan lebih lama iaitu selama 14 hari. Orkid Mokara yang ditanam di negara ini lebih berkualiti dari segi ukuran tangkai dan jumlah bunga berbanding negara-negara jiran seperti Thailand. Iklim di negara ini lebih sesuai untuk pengeluaran orkid dan memenuhi keperluan kualiti eksport.

Dubai dipilih sebagai sebagai destinasi eksport pertama untuk orkid Mokara kerana syarat pengeksportan ke bandar raya itu lebih mudah berbanding syarat eksport ke tempat lain. Dubai tidak memerlukan rawatan fitosanitasi. Apa yang diperlukan hanya Sijil Fitosanitasi sebagai perakuan untuk membenarkan pengeksportan tumbuhan dan hasil tumbuhan mengikut ketetapan Konvensyen Antarabangsa Perlindungan Tanaman, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) yang mula dikuatkuasakan pada 1951.

Pelaksanaan tranformasi daripada jualan secara tradisional kepada kaedah produk kotak hadiah premium memberikan nilai tambah kepada orkid Mokara kerana ia lebih menepati kehendak pelanggan di Dubai yang sentiasa mencari produk yang eksklusif. Apabila konsep ini dapat memenuhi kehendak pasaran di sana, tugas mengeksport dan memasar produk menjadi lebih mudah. Kaedah ini juga mempercepatkan proses pengeluaran Sijil Fitosanitasi (PC) kepada setiap konsainan orkid ini supaya ia dapat dipasarkan ke Dubai. PC ini amat penting kerana hanya dengan PC ini sahaja produk ini boleh memasuki pasaran Dubai kerana telah disahkan bebas daripada penyakit dan perosak tanaman.

Konsainan pertama dijangka Ogos

Bagi tujuan pengeksportan, Jabatan Pertanian telah menjalin kolaborasi dengan perunding pemasaran, Orchidmas Sdn. Bhd yang bertanggungjawab dalam urusan pembungkusan keratan orkid dalam bentuk kotak hadiah yang dijenamakan sebagai Malaysian Orchid Golden Gift Box untuk pelancong yang menginap di hotel. Kerja-kerja pembangunan dan penanaman LEOD ini telah bermula Mac lalu dan konsainan pertama dijangka bermula pada Ogos 2024.

Dubai merupakan destinasi eksport yang berpotensi tinggi kerana di sana terdapat lebih kurang 700 buah hotel dengan kapasiti 127,814 bilik. Jumlah pelancong di Dubai mencecah 89.1 juta setahun dan lapangan terbang Dubai merupakan lapangan terbang ke-19 paling sibuk di dunia. Permintaan orkid dan nilai jualan yang tinggi di Dubai telah membuka laluan pasaran baharu untuk industri orkid negara.

Penghantaran percubaan sebanyak 170 kotak hadiah orkid Mokara telah dibuat pada 17 Februari lalu. Majlis pelancaran promosi Malaysian Orchid Golden Gift Box itu yang diadakan di Al Habtoor Palace, Dubai pada 21 Februari dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian (Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan), Khalid Ibrahim mewakili Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Kembang sayap

Usaha mempromosi orkid Mokara sebagai komoditi eksport tidak berhenti setakat di Dubai. Jabatan Pertanian terus mengembangkan sayap ke destinasi lain di Timur Tengah serta Eropah dengan kerjasama Orchidmas Sdn. Bhd. dan cawangan antarabangsanya Orchidmas International LLC yang berpusat di Dubai.

Penyertaan Orchidmas dalam Russia-Islamic World Kazan Forum 2024 pada 14 hingga 19 Mei lalu telah mula membuka laluan bagi orkid Malaysia menembusi pasaran yang lebih luas. Dengan nilai keseluruhan industri florikultur global sebanyak USD50 bilion atau RM235 bilion, industri orkid negara sudah pasti mampu berdiri sebagai produk yang mempunyai daya saing yang tinggi.

-- BERNAMA

Mohamad Letfee Ahmad, bekas Pengurus Program Bernama TV kini ialah Penasihat Media, Orchidmas Sdn. Bhd.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)