SALAM DARI BEIJING

SEPETANG MENIKMATI KUGIRAN JAZZ DAN OPERA KUNQU

27/06/2024 12:52 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Siti Radziah Hamzah

Sepanjang tiga bulan berada di Beijing bagi mengikuti program China International Press Centre 2024, penulis berpeluang mengikuti pelbagai warisan budaya tidak ketara (intangible cultural heritage) di negara tembok besar ini seperti Opera Kunqu dan seni pembuatan teh tradisional.

Aktiviti-aktiviti tersebut merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan merupakan satu pendedahan yang baik bagi wartawan asing seperti penulis.

Ini kali pertama penulis berpeluang melihat sendiri kepelbagaian seni budaya Cina seperti opera tradisional mereka yang sebelum ini hanya penulis tonton melalui filem-filem period dari Hong Kong mahupun dari China.

Penulis berpeluang menghadiri sebuah persembahan yang menggabungkan irama jazz dan Opera Kunqu anjuran Central Academy of Fine Arts di Bell and Drum Towers Beijing, yang juga merupakan satu monumen bersejarah yang dibina pada tahun 1272.


Acara jazz dan Opera Kunqu ini tidak termasuk dalam program penulis dan merupakan inisiatif penulis bersama rakan wartawan lain untuk meneroka Beijing.

Persembahan tersebut dimulakan dengan persembahan Opera Kunqu kira-kira 10 minit oleh dua penghibur wanita sebelum kugiran jazz memulakan persembahan mereka.

Penonton kemudian didengarkan pula alunan jazz diiringi oleh beberapa penyanyi yang turut berpakaian tradisional Opera Kunqu.

Selama lebih kurang satu setengah jam, penonton dihiburkan dengan lagu-lagu jazz moden dengan beberapa penyanyi yang turut menggayakan pakaian tradisi Cina.

Opera Kunqu

Opera Kunqu, yang sering dilabel sebagai "the mother of Chinese operas", adalah antara seni opera tertua China yang berasal dari Suzhou, Shanghai, sejak 600 tahun dahulu

Opera kunqu telah mencapai kemuncak popularitinya pada akhir Dinasti Ming dan awal Dinasti Qing.


Opera ini terkenal dengan kehadiran pentasnya yang hebat melalui penggunaan solekan yang rumit, nyanyian yang lembut dan anggun, aksi yang elegan dan muzik tradisional.

Berbanding dengan opera Cina yang lain, Opera Kunqu menggabungkan nyanyian, tarian, serta seni mempertahankan diri. Ia juga terkenal dengan liriknya yang elegan, gaya anggun dan seni persembahan yang halus.

Opera ini merupakan warisan budaya tidak ketara yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sehingga Disember 2022, China mempunyai 43 item dalam senarai warisan budaya tidak ketara di bawah UNESCO.

-- BERNAMA

Penulis merupakan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia yang sedang mengikuti Program China International Press Centre 2024 anjuran China International Press Communication Centre (CIPCC) selama empat bulan bermula akhir Februari 2024.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)