WILAYAH - TIMUR > BERITA

16 KELUARGA MISKIN TEGAR, KELANTAN YAKIN CAPAI SIFAR MISKIN TEGAR BULAN DEPAN

20/06/2024 07:43 PM

KOTA BHARU, 20 Jun (Bernama) -- Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kelantan berjaya menurunkan jumlah keluarga miskin tegar daripada 12,270 Ketua Isi Rumah (KIR) kepada hanya 16 KIR di antara hujung tahun lepas sehingga kini.

Pengarah Pembangunan Kelantan (ICU JPM) Jasri Kassim berkata ICU JPM kekal optimis untuk menoktahkan miskin tegar menjelang bulan depan.

Beliau berkata antara usaha yang telah dilakukan ICU JPM adalah bekerjasama dengan pelbagai agensi di bawah Kerajaan Persekutuan selain pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi mengeluarkan KIR yang berada dalam kategori miskin tegar kepada kategori miskin. 

“Kita yakin dapat menyahut ketetapan yang diberikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk menoktahkan miskin tegar sebelum 2 Julai nanti.” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Ziarah Kasih Ihsan Aidiladha 1445 Hijrah di Pejabat ICU JPM Negeri Kelantan di Tunjong, di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 70 KIR miskin tegar dan miskin menerima sumbangan daging segar serta bakul makanan bagi meraikan golongan berkenaan menyambut Aidiladha.

Jasri berkata antara usaha yang dilakukan ICU JPM telah membuat pembasmian data KIR yang menerima bantuan tetapi tidak direkodkan.

Mengulas lanjut, katanya antara program dilaksanakan untuk meningkatkan pendapatan KIR yang terlibat bagi mengeluarkan mereka daripada miskin tegar kepada miskin adalah dengan melakukan padanan pekerjaan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Beliau berkata kebanyakan mereka sebelum ini tiada pekerjaan, selain tidak mendapat bantuan yang sewajarnya maka padanan pekerjaan ini akan membantu mereka mendapat pekerjaan sekali gus meningkatkan pendapatan keluarga.

“Oleh itu, kita kini sedang mengusahakan serta menggunakan kaedah yang sama untuk memberi pendedahan untuk meningkatkan pendapatan atau memberi peluang pekerjaan kepada 16 KIR yang masih lagi berada dalam kategori miskin tegar, ” katanya.

Pada 2 Mei lepas, Anwar memberi tempoh dua bulan kepada agensi kerajaan pusat dan negeri untuk menoktahkan miskin tegar di Kelantan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan