WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SABAH MAMPU BINA MASA DEPAN BERDAYA TAHAN, SAKSAMA DAN MAKMUR - DR JOACHIM

20/06/2024 10:54 PM

KOTA KINABALU, 20 Jun (Bernama) -- Masa depan tadbir urus tempatan di Sabah dijangka dibentuk bergantung kepada usaha meningkatkan autonomi, penerimaan terhadap transformasi digital, menggalakkan kemampanan serta memastikan tadbir urus yang inklusif dan berlandaskan penyertaan. 

Timbalan ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata dengan menangani aspek berkenaan, Sabah mampu membina masa depan yang berdaya tahan, saksama dan sejahtera untuk masyarakatnya dan keberkesanan terhadap usaha itu bersandarkan kepada kerjasama berterusan antara pihak berkuasa tempatan, kerajaan Persekutuan, sektor swasta dan rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata tadbir urus yang baik bergantung kepada keupayaan untuk memikul tanggungjawab terhadap pentadbiran dan rakyat.

“Prosedur tadbir urus paling berkesan apabila ia melibatkan penyertaan, tanggungjawab, telus, cekap, inklusif dan patuh kepada kedaulatan undang-undang,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Masa Depan Tadbir Urus Tempatan: Trend dan Transformasi anjuran Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) dan Konrad Adenauer-Stiftung (KAS).

Dr Joachim berkata kementeriannya bersama-sama kementerian, jabatan dan agensi lain berazam meningkatkan keberkesanan tadbir urus kerajaan tempatan, menambah baik keadaan perumahan dan memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif di seluruh negeri.

Menurutnya menerusi inisiatif itu, kementeriannya berusaha mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih baik kepada semua penduduk dan pada masa sama menggalakkan pembangunan sosioekonomi Sabah.

“Sebagai sebahagian daripada usaha ke arah mencapai aspirasi SMJ (Sabah Maju Jaya), idea untuk membangunkan Bandar Pintar di lokasi popular di Sabah telah dilaksanakan secara serius sejak 2021. Inisiatif untuk mewujukan ekosistem ekonomi digital yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat turut menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata Smart Sabah Corporation Sdn Bhd telah dilantik di bawah bidang kuasa Jabatan Ketua Menteri untuk menyelia inisiatif ke arah pendigitalan Sabah.

“Tahun lepas, kerjasama antara kerajaan negeri dan  Huawei Technologies telah dimeterai bagi memulakan pelaksanaan perkhidmatan digital untuk kerajaan, perniagaan dan komuniti,” katanya. 

 Dr Joachim berkata beliau percaya tujuan seminar itu adalah untuk memahami, berkongsi pengetahuan dan bertukar maklumat mengenai bagaimana trend dan transformasi tadbir urus tempatan berlaku pada masa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan